
SEKATAN: RUSIA KEMBALI JUAL KERETA TANPA BEG UDARA, ABS!
Sekatan yang dikenakan ke atas Rusia susulan serangan negara itu ke atas Ukraine memberikan kesan yang besar kepada industri automotif.
Menurut laporan daripada Autoblog seperti yang dipetik oleh Carscoops, masalah kekurangan bekalan menyebabkan Lada terpaksa memperkenalkan varian baharu bagi model Lada Granta, iaitu varian Classic.
Status Classic ini sebenarnya merujuk kepada spesifikasi kereta tanpa ciri keselamatan seperti ABS, beg udara penumpang malah ia juga tidak dilengkapi dengan sistem pendingin hawa!
Enjin 1.6 liter berkuasa 90 hp itu juga sebenarnya tidak mematuhi piawaian pelepasan emisi Eropah yang terkini, sebaliknya memenuhi piawaian tahun 1996.
Disebabkan itu juga, harga jualan sememangnya sangat rendah, bermula dari 761,000 ruble (RM58,260).
Menurut David Ward, presiden eksekutif Program Penilaian Kenderaan Baharu Global memberitahu NBC, tindakan ini merupakan satu langkah ke belakang untuk sebuah negara yang menduduki kerusi naib presiden World Forum for Harmonization of Vehicle Regulation United Nations.
Situasi ini bukan sahaja memberikan kesan kepada pemilik kereta baharu, malah pemilik kereta sedia ada juga turut berdepan dengan masalah alat ganti yang menjadi semakin mahal, dan tempoh menunggu yang semakin lama. – Carscoops