MOTOSIKAL 150CC KE ATAS WAJIB ABS BERMULA 1 JAN 2025 – TPM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahdi Hamidi mengesahkan bahawa kerajaan akan mewajibkan sistem ABS (anti-lock braking system) pada semua motosikal 150cc ke atas bermula 1 Januari 2025.
Menurut Zahid Hamidi, pelaksanaan itu selaras dengan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengenal pasti bahawa sistem ABS mampu menurunkan kadar kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal sebanyak 31 peratus.
“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian kemalangan jalan raya di negara ini dan dorongan kepada negara ASEAN lain untuk mengguna pakai kaedah sama dengan menjadikan penggunaan motosikal selamat merentas rantau ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Wong Shaw Woon berkata pelaksanaan wajib ABS pada motosikal 150cc ke atas adalah penting bagi mengurangkan angka kematian yang semakin membimbangkan.
Rancangan untuk mewajibkan ABS pada motosikal 150cc ke atas telah pun dibangkitkan sekitar dua tahun lalu dengan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengarahkan MIROS untuk menjalankan kajian terperinci mengenai keberkesanan sistem itu. – Buletin TV3