YAMAHA Y15ZR BAKAL DIHENTIKAN PENGELUARAN DI MALAYSIA?
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengumumkan bahawa sistem ABS (anti-lock braking system) adalah mandatori pada motosikal 150cc ke atas bermula 1 Januari 2025.
Perkara itu bukanlah satu kejutan ekoran pada 2022, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Wee Ka Siong telah pun memaklumkan bahawa kerajaan sedang pertimbang untuk mewajibkan ABS pada motosikal 150cc ke atas dengan pihak MIROS diberikan enam bulan untuk membuat kajian.
Memetik laporan The Star, pengerusi MIROS, Dr Wong Shaw Woon berkata sistem ABS mampu mengurangkan kadar kemalangan maut motosikal.
“ABS mampu mengurangkan kemalangan maut motosikal sebanyak 30 peratus. Sistem ini mengelakkan berlakunya tayar gelinciri (skidding) sekaligus memastikan penunggang kekal berada dalam kawalan,” jelasnya.
Untuk rekod, ketika ini rata-rata motosikal 150cc ke atas dilengkapi dengan ABS secara standard antaranya Yamaha Y16ZR, NVX, Honda RS-X, Vario 160, ADV 160 serta SYM VF3i.
Namun, beberapa motosikal 150cc ke atas lain seperti Yamaha Y15ZR, Suzuki Raider R150 Fi dan Honda RS150R masih lagi ketandusan sistem tersebut ketika ini.
Persoalannya, mengambil kira kerajaan mewajibkan ABS bermula 1 Januari depan, adakah Yamaha Y15ZR akan dinaik taraf dengan sistem ABS atau model popular tersebut akan dihentikan pengeluaran sekaligus memberi fokus pada Y16ZR?
Apa pun pastinya akan berlaku perubahan dari aspek penawaran model bermula tahun depan bagi pasaran tempatan.