Buletin

SSANGYONG TORRES MUNCUL DI KOREA SELATAN

Biarpun berdepan dengan masalah kewangan, SsangYong tetap tidak berputus asa untuk terus memperkenalkan produk baharu bagi menarik perhatian pelanggan.

Di Korea Selatan, pengeluar itu baharu sahaja melancarkan sebuah SUV baharu yang diposisikan di antara Korando dan juga Rexton, iaitu Torres.

Rupa paras SsangYong Torres ini sememangnya agresif, dimulakan dengan rekaan lampu depan kecil mengapit gril hadapan dengan enam ‘tiang’ menegak, lampu nyalaan siang LED agresif, sementara profil sisi pula menampakkan elemen Jeep dengan arka roda yang besar dan bersegi, dan elemen kotak storan yang dilihat seakan diambil daripada Defender.

Ruang kabin pula membawakan susun atur tiga skrin utama, iaitu skrin kluster digital, skrin infotainmen dan sebuah lagi skrin yang digunakan untuk mengawal iklim kabin.

Kelengkapan standard termasuklah upholsteri kulit palsu, tempat duduk depan dengan ciri pemanas, lampu LED, roda stereng dengan ciri pemanas, serta kawalan iklim automatik.

SsangYong Torres dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dengan kuasa setinggi 168 hp dan daya kilas 280 Nm dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, serta sistem pacuan roda depan atau pacuan semua roda.

Disebabkan Torres sedikit besar berbanding Korando, ia mampu menawarkan ruang kargo sebesar 703 liter, atau sehingga 1,662 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Google ads
Back to top button