Artikel Pilihan

SELAMAT JALAN SHUNSAKU TAMIYA – TERIMA KASIH UNTUK KERETA KAWALAN JAUH BERKUALITI TINGGI

Rasanya kalau sebut nama Tamiya semua bangsa generasi X akan tahu siapa beliau. Ia adalah bersempena dengan nama Shunsaku Tamiya, bekas presiden dan pengerusi Tamiya Inc. yang bari sahaja meninggal dunia pada 18 Julai lalu. Tamiya berjaya membawa transformasi dalam pengeluaran model kenderaan berkualiti tinggi, kereta kawalan jauh dan jentera perlumbaan 4WD mini.

Beliau menyertai syarikat yang dibangunkan oleh ayah beliau sendiri dan asalnya merupakan sebuah syarikat pengangkutan sebelum beralih ke pembekal kayu kayan selepas perang dunia. Sebab itulah model-model kenderaan Tamiya asal dihasilkan daripada kayu. Kemudian berlaku kebakaran besar yang mengakibatkan stok kayu mereka musnah sepenuhnya membuatkan Tamiya mengalih kepada bisnes penghasilan model kenderaan sepenuhnya.

Perkembangan teknologi plastic membuka lembaran baru dalam penghasilan model kit dan Tamiya mula mengeksploitasi teknologi tersebut. Tamiya berjaya menimbulkan minat baharu terhadap dunia automotif bukan hanya terhad kepada model-model kereta tetapi hampir kesemua kenderaan yang wujud di atas muka bumi.

Shunsaku Tamiya bertanggungjawab menaikkan jenama dan reputasi Tamiya. Malah beliau turut menarik masuk adik beliau Masao yang turut menghasilkan logo dua bintang Tamiya yang terkenal tu. Rekaan kotak putih Tamiya membuatkan mereka kelihatan menyerlah berbanding model kit keluaran jenama lain.

Kelebihan Tamiya sebenarnya terletak pada ketepatan ukuran model yang dihasilkan. Sewaktu menghasilkan kit Porsche 934 Turbo RSR 1976, Tamiya telah menghantar beberapa pereka syarikat beliau ke kilang Porsche Zuffenhausen beberapa kali untuk mengambil ukuran sebenar kereta tersebut.

Beliau bagaimanapun masih belum berpuas hati lalu Tamiya membeli sebuah Porsche 911. Kereta tersebut kemudian dileraikan satu persatu untuk memastikan setiap ukuran adalah tepat sebelum dipasang kembali. Mak aih, sampai macam tu sekali kau.

Shunsaku Tamiya telah dianugerahkan Anugerah Pencapaian Seumur Hidup oleh Japan Media Arts Festival pada tahun 2018 atas sumbangannya terhadap industri hobi. Model kit ciptaan beliau telah menyemarakkan minat terhadap automotif seawal zaman kanak-kanak di seluruh dunia.

Selamat jalan Tamiya-san.

Google ads
Back to top button