SELAMAT TINGGAL TOYOTA ESTIMA. (1990-2019)
Toyota jarang membuat inovasi besar, tetapi jika “kebetulan” ia jadi, inovasi tersebut lazimnya disebut-sebut sebagai kejayaan industri. Tengok sahaja pada Hilux, Prius dan Land Cruiser.
Satu lagi kejayaan Toyota yang jarang diceritakan ialah segmen MPV mereka. Ia kurang mendapat liputan kerana MPV Toyota berjaya di benua Jepun dan sekitar Asia sahaja.
Pun begitu, nama seperti Estima sangat besar pengaruhnya dalam arena MPV kerana selepas Liteace, Estima boleh dianggao MPV keluarga pertama yang dibina dalam industri automotif.
Ia pertama kali diperkenalkan pada 1990 menerusi model TCR dan hanya digantikan 10 tahun berikutnya pada 2000 menerusi model ACR30. Generasi kedua pula kembali ke rutin produksi 6 tahun dan digantikan dengan model ACR50 pada 2006.
Ya. itulah generasi Estima terkini yang anda lihat banyak di jalanraya. Ia menerima TIGA facelift pada 2009, 2012 dan 2017 dan walaupun selepas 13 tahun dalam pasaran, ia masih lagi diproduksi. Belum ada tanda-tanda model gantiannya akan tiba.
Terbaru, Toyota memaklumkan bahawa mereka akan menghentikan pengeluaran Estima pada Oktober ini. Ia berikutan permintaan kenderaan itu yang turun dengan mendadak.
Ya lah, casis dah tua, apa lagi dengan adanya Alphard/Vellfire yang baru empat tahun (2015) dalam pasaran.
Sebagai perbandingan, Alphard/Vellfire terjual sekitar 10,000 unit sebulan sementara Estima tak sampai 800 unit pun.
Jadi, angkanya memang menunjukkan Estima sudah tak lagi diminati biarpun model facelift terkininya sudah ada ciri-ciri premium sepertimana Alphard/Vellfire iaitu Toyota Safety Sense, auto tailgate, auto seat, auto parking, home theatre dan sebagainya.