Buletin

MARK TRUENO PEMILIK PERTAMA SUPRA DI AUSTRALIA – TURUT MILIKI 2 LAGI SUPRA

Menjadi pemilik pertama model ikonik adalah satu perkara yang istimewa. Itulah yang berlaku pada Mark Trueno, pemilik pertama Toyota GR Supra di Australia.

Mark Trueno adalah individu terkenal di dalam industri ubah suai di Australia dan juga peminat sejati Toyota. Di antara koleksi Toyota yang dimiliki ialah Supra A80 dan Supra A70.

Satu lagi yang istimewa ialah pemilihan Supra A90 bukan berdasarkan siapa cepat dia dapat atau siapa meletakkan deposit dahulu. Kaedah pemilihan ialah melalui cabutan rawak selepas tempahan di dalam talian dibuka pada 19 Jun lalu. 

Ini bermakna Mark Trueno sangat bertuah kerana terpilih dan ia keputusan sempurna memandangkan beliau memiliki dua lagi Supra ikonik.

GR Supra GTS 3.0L yang diterima Mark minggu lalu berwarna Silverstone Yellow dengan kemasan dalaman Alcantara.

Menurut Mark, ibu bapa beliau adalah pemilik kenderaan Toyota dan daripada situ minat terhadap jenama ini bermula. Sewaktu kecil beliau memandu Supra pertama di dalam permainan video dan berhasrat untuk memilikinya.


Sebagai tanda istimewa memiliki unit pertama di Australia, Supra kepunyaan Mark didatangkan dengan penutup enjin yang mempunyai tandatangan Tetsuya Tada, Ketua Jurutera GR Supra.

Toyota Australia telah dua kali membuka tawaran dalam talian dan setakat ini mempunyai lebih daripada 200 tempahan. Tawaran dalam talian seterusnya akan dibuka pada 12 tengah hari, 25 September 2019.

Tawaran terbaru ini dijangka tiada masalah memandangkan sebelum ini Toyota hanya memerlukan 22 minit untuk kesemua 150 unit habis ditempah. 

Berbeza dengan Jepun, pelanggan di Australia hanya ditawarkan pilihan enjin tunggal 3.0L enam silinder sebaris. Di Jepun pembeli ditawarkan dua jenis enjin iaitu 2.0L dan 3.0L.

Di peringkat ASEAN, Supra 3.0L telah pun dijual di Filipina pada harga sekitar RM400,000 dan Indonesia pada harga sekitar RM580,000.

Untuk peminat tempatan, anda boleh bergembira kerana UMW Toyota Motor sudah mengesahkan model ikonik ini akan dijual secara rasmi dan mungkin dalam masa terdekat!. 

BACA: BERAPA TAHAP PENGGUNAAN PETROL TOYOTA SUPRA? INI JAWAPANNYA…

BACA: GR SUPRA DILANCARKAN MINGGU DEPAN. TIADA LAGI LENCANA TOYOTA!

BACA: TOYOTA ALTIS GEN-12 DILANCARKAN DI THAILAND. SUDAH SEDIA LAWAN CIVIC KETAM?

Tags
Google ads
Back to top button