Buletin

TOYOTA ESTIMA BAKAL DIHIDUPKAN SEMULA – HADIR DALAM VERSI BEV DAN PHEV, PELANCARAN PADA 2027

Selepas hampir sedekad dihentikan pengeluarannya, Toyota Estima – yang pernah digelar sebagai “Genius Egg” – berkemungkinan besar akan membuat kemunculan semula sebagai sebuah minivan generasi baharu.

Maklumat terkini menyatakan bahawa projek kebangkitan Estima telah dihidupkan semula, dengan perancangan untuk memperkenalkan versi elektrik bateri (BEV) dan hibrid plug-in (PHEV).

Dari e-TNGA ke Platform Baharu

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa Estima akan menggunakan platform e-TNGA yang dikhususkan untuk kenderaan elektrik (BEV).

Namun, disebabkan kelemahan teknologi tersebut dan jualan yang hambar bagi model berasaskan e-TNGA seperti Toyota bZ4X dan Lexus RZ, perancangan itu dikatakan telah terbantut.

Kini, Toyota dipercayai sedang membangunkan platform serba baharu yang dikenali sebagai “multi-pathway platform.”

Berasaskan platform GA-K (digunakan pada model seperti Toyota Crown, Camry, dan RAV4), platform ini membolehkan penggunaan pelbagai jenis rangkaian kuasa termasuk BEV dan PHEV, dengan kelebihan boleh dihasilkan di kilang sedia ada tanpa memerlukan pelaburan besar untuk fasiliti baharu.

Teknologi Berinovasi Tinggi

Selain pilihan BEV dan PHEV, Toyota juga berkemungkinan akan menyertakan teknologi steer-by-wire (SBW), iaitu sistem stereng tanpa sambungan mekanikal yang hanya menggunakan isyarat elektrik.

Teknologi ini dijangka diperkenalkan pada 2025 dan berpotensi menjadi sebahagian daripada Estima generasi baharu.

Dari segi reka bentuk, terdapat teori bahawa Toyota akan memberi penghormatan kepada Estima generasi pertama dengan elemen reka bentuk retro-futuristik, sekaligus mengekalkan identiti minivan inovatif yang pernah menjadi kebanggaan jenama ini.

Pelancaran Dijangka pada 2027

Toyota telah mengumumkan bahawa pengeluaran platform BEV generasi seterusnya akan ditangguhkan ke pertengahan 2027.

Dengan tempoh pembangunan yang lebih panjang, Toyota dijangka akan memastikan Estima baharu benar-benar menampilkan teknologi terkini, sepadan dengan legasi namanya.

Bagi peminat MPV dan minivan premium, kemunculan semula Estima pasti dinanti-nantikan. Adakah ia akan membawa kejutan besar seperti model asalnya pada tahun 1990? Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut dari Toyota!

Google ads
"
"
Back to top button