Buletin

SHELL RECHARGE DAN PRO-NET JALIN USAHA SAMA PERKUKUH KEMUDAHAN PENGECASAN EV

Shell Recharge bersama Proton New Energy Technology (PRO-NET), anak syarikat kepada pengeluar kereta nasional PROTON, telah mengumumkan kerjasama strategik untuk memudahkan pengalaman pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Melalui inisiatif ini, pengguna EV jenama PROTON e.MAS dan smart kini boleh mengakses, mencari serta membuat bayaran bagi pengecasan di stesen Shell Recharge seluruh negara menggunakan aplikasi PROTON e.MAS dan Hello smart.

Kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam mewujudkan pengalaman pengecasan yang lebih lancar dan bersepadu, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekosistem EV.

Shell juga terus memperluaskan rangkaian pengecasan awamnya, termasuk pelancaran Koridor Pengecasan Berprestasi Tinggi (HPC) yang menghubungkan Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.

Usahasama terbaharu dengan PRO-NET ini selari dengan komitmen Shell untuk membina rangkaian pengecasan EV yang lebih mampan dan inklusif melalui kolaborasi bersama rakan strategik, serta menyokong usaha negara dalam mempercepatkan penggunaan EV.

Sebagai penghargaan atas kerjasama ini, Shell Recharge menawarkan promosi istimewa kepada semua pemilik EV PROTON e.MAS dan smart.

Dari 26 Mei hingga 9 Jun 2025, pengguna yang membuat bayaran melalui aplikasi PROTON e.MAS atau Hello smart akan menikmati diskaun 30 peratus di kemudahan pengecasan HPC Shell serta potongan 10 peratus di stesen Shell Recharge lain di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, menyatakan, “Misi kami di PRO-NET bukan sekadar menghasilkan kenderaan elektrik, tetapi juga membentuk masa depan mobiliti lestari. Kerjasama ini adalah satu pencapaian penting ke arah merealisasikan visi tersebut.”

Beliau turut menambah, “Bekerjasama dengan rakan strategik seperti Shell membolehkan kami bukan sahaja menghubungkan rangkaian pengecasan, tetapi juga memperkukuh keyakinan pengguna terhadap perjalanan EV yang lebih pintar dan menyeluruh di seluruh Malaysia.”

Google ads
Back to top button