
SHELL RECHARGE PERLUAS RANGKAIAN HPC, HUBUNGKAN PANTAI TIMUR DAN PANTAI BARAT
Shell Malaysia terus memperkukuh infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran rangkaian Pengecasan Berprestasi Tinggi (HPC) pertama yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat.
Dengan keupayaan pengecasan pantas sehingga 180kW, rangkaian ini menjanjikan perjalanan lebih lancar untuk pemilik EV di seluruh Semenanjung Malaysia.
Langkah ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha Shell memperluaskan liputan stesen pengecasan ultra-pantas.
Selain melengkapkan sambungan dari Kuala Lumpur ke Terengganu, inisiatif ini juga melengkapi laluan sedia ada dari Johor ke Perak, memastikan lebih banyak pilihan kepada pengguna EV.

Menurut Pengurus Besar Mobiliti dan Kemudahan Shell Malaysia, Seow Lee Ming, pengenalan rangkaian pengecasan HPC di Pahang dan Terengganu menandakan komitmen syarikat untuk merapatkan jurang infrastruktur pengecasan EV di Pantai Timur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter menekankan kepentingan kolaborasi dengan Shell dalam memperkukuhkan ekosistem EV tempatan.
“Dengan sambutan positif terhadap Taycan serta pengenalan Macan serba elektrik, permintaan untuk pengecasan pantas semakin meningkat.
“Teknologi HPC membolehkan kenderaan seperti Taycan dan Macan dicas dari 10% hingga 80% dalam masa kurang daripada 21 minit, menjadikan perjalanan jauh lebih mudah dan pantas,” jelasnya.

Setakat ini, 13 stesen HPC telah beroperasi di Semenanjung Malaysia, termasuk hab pengecasan utama di Genting Highlands.
Senarai stesen HPC di Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut (180kW dan keatas):
- Highlands Hotel, Genting Highlands
- Shell Tangkak R&R JB Bound
- Shell NSE Pagoh R&R KL Bound
- Shell NSE Seremban R&R North Bound
- Shell NSE Seremban R&R South Bound
- Shell RTC, Simpang Pulai
- Shell Tapah R&R South Bound
- Shell LDP D’Alpinia
- Shell LPT 1 R&R Temerloh Kuantan Bound
- Shell LPT 2 R&R Paka KT Bound
- Shell LPT 2 R&R Paka KL Bound
- Shell LPT 2 Perasing R&R
- Shell LPT 1 R&R Temerloh KL Bound (Bakal dibuka)
Stesen-stesen ini bukan sekadar menawarkan kemudahan pengecasan pantas, tetapi juga ruang rehat, kedai serbaneka, serta pilihan makanan dan minuman bagi meningkatkan keselesaan pengguna semasa mengecas kenderaan mereka.
Bersempena dengan sambutan Aidilfitri, Shell menawarkan rebat kredit eksklusif bagi pengguna EV yang mengecas di lokasi Shell Recharge HPC di Lebuhraya Pantai Timur dari 24 Mac hingga 4 April 2025.
Melalui aplikasi ParkEasy, ahli Platinum boleh menikmati rebat penuh, manakala ahli Gold dan pengguna biasa mendapat rebat 50 peratus, yang akan dikreditkan dalam masa tujuh hari selepas kempen berakhir.
Dengan langkah ini, Shell Malaysia terus mengorak langkah ke hadapan dalam memperkukuh rangkaian pengecasan EV, sekaligus menyokong peralihan negara ke arah mobiliti yang lebih lestari.








