
SUBARU PERKENAL MODEL KONSEP FORESTER STI PADA ACARA TAS 2019
Selama ini, crossover berprestasi tinggi biasanya dikuasai oleh jenama Eropah seperti BMW, Mercedes-Benz dan Audi.
Kini, pasaran niche itu bakal disertai oleh Subaru yang dijangka memperkenalkan model konsep Forester STI pada acara Tokyo Auto Salon yang berlangsung Januari depan.
Forester STI konsep didatangkan dengan warna kelabu (Fighter Gray) yang eksklusif, bersama rim aluminium bersaiz 19 inci. Tidak ketinggalan sistem brek Brembo dengan angkup enam omboh untuk roda hadapan.
Jentera itu juga menerima rekaan gril yang telah direka baru dengan kemasan jenis honeycomb, lencana STI dan bampar hadapan agresif. Penampilan sporty Forester STI konsep dipertingkatkan dengan skirting sisi dan bampar belakang bersama kemasan berwarna kuning.
Subaru bagaimanapun tidak mendedahkan rangkaian kuasa yang digunakan. Ia hanya menyatakan rangkaian enjin e-Boxer itu telah dipertingkat. Jika dilihat kepada enjin e-Boxer 2.0 liter yang dipadankan dengan motor elektrik sedia ada, ia mampu menjana kuasa sehingga 142hp dan tork 188Nm.
Selain Forester STI, Subaru akan menampilkan model konsep Impreza STI. Tidak banyak maklumat diketahui tentang hatchback tersebut. Namun, apa yang pasti jentera itu dipasang denga bodykit lebih sporty.
Model itu djuga dilengkapi gril yang telah direka semula, bumbung berwarna hitam dan rim aloi ringan. Bahagian belakanh pula diserlahkan dengan bampar baharu dan sistem ekzos berkembar.
Kalau ada kesempatan dan duit lebih, berkunjunglah ke Tokyo Auto Salon 2019, anda tidak akan menyesal.