
SUBARU STI BAKAL MUNCUL DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025, ADA VERSI EV DAN HIBRID!
Selepas hampir lima tahun tanpa kelibat versi STI, Subaru kini memberi petanda bahawa era baharu model berprestasi tinggi itu bakal bermula semula.
Pada Japan Mobility Show hujung Oktober ini, jenama tersebut akan memperkenalkan dua konsep bertemakan STI – satu sepenuhnya elektrik, manakala satu lagi mengekalkan enjin boxer ikonik Subaru sebagai asasnya.
Walaupun Subaru terkenal dengan sejarah menggoda peminat melalui model konsep yang jarang memasuki produksi, kali ini tanda-tandanya kelihatan lebih meyakinkan.
Dua model yang bakal dipertontonkan itu ialah Performance-E STI Concept dan Performance-B STI Concept, masing-masing menggambarkan dua hala tuju berbeza bagi masa depan STI.

Model Performance-E STI dikatakan mewakili masa depan segmen prestasi Subaru yang menggabungkan rekaan mengujakan dengan kepraktisan seharian.
Gambar acah dikeluarkan menunjukkan bahagian hadapan dengan lampu utama nipis, mirip rekaan Tesla Model 3 dan bentuk hatchback yang menandakan perubahan daripada tradisi WRX sedan selama ini.
Sementara itu, Performance-B STI Concept menampilkan pendekatan lebih konvensional tetapi tetap agresif.
Berdasarkan bentuknya, model ini menyerupai WRX atau Levorg, wagon berprestasi yang dijual di Jepun, diserlahkan dengan sayap besar di belakang serta garis bumbung yang panjang.
Subaru menyatakan model ini “mengimbangi kuasa dan praktikaliti” serta “menggabungkan secara fleksibel teknologi sedia ada,” termasuk enjin boxer dan sistem pacuan semua roda simetri. Petunjuk bahawa enjin digunakan sebagai “asas” memberi isyarat jelas ke arah sistem hibrid.
Dengan trend semasa di mana beberapa pengeluar mula melonggarkan sasaran kenderaan elektrik sepenuhnya, langkah Subaru ini dilihat strategik.
Penggunaan sistem hibrid bukan sahaja mengurangkan tekanan piawaian emisi global, tetapi juga memberi peluang kepada Subaru untuk mengembalikan semangat STI dalam bentuk yang lebih moden dan lestari.
Walau bagaimanapun, jika benar projek STI generasi baharu ini pernah dihentikan suatu ketika dahulu, proses untuk menghidupkannya semula mungkin mengambil masa.
Namun, desas-desus tentang pembangunan model STI baharu yang timbul sejak tahun lalu kini tampak semakin kukuh.
Mungkin, salah satu daripada dua model konsep di Jepun nanti akan menjadi petunjuk kepada kebangkitan semula legenda STI yang dinanti-nantikan oleh peminat di seluruh dunia.







