
Subaru Outback diperkenalkan pada tahun 1994 sebagai model lebih lasak berasaskan Subaru Legacy wagon.
Outback kini memasuki generasi ketujuh dan buat pertama kali, tampil dengan reka bentuk sendiri dan tidak lagi bergantung pada Legacy wagon.
Satu fakta penting, Subaru kini tidak lagi menawarkan generasi baharu Legacy wagon dan menjadikan Outback benar-benar berdiri sendiri.
Siri Wilderness membawa sisi kenderaan Subaru yang lebih rugged dan lasak. Serentak dengan pengenalan model baharu, Subaru turut menghidangkan Outback Wilderness.
Dari model keluarga di bandar kepada kenderaan untuk mengembara dan meredah hutan.
Subaru Outback Wilderness 2026 menggunakan enjin SUBARU BOXER® 2.4 liter turbo yang menghasilkan 260 kuasa kuda (hp) dan 375 Nm daya kilas untuk tindak balas yang mantap.
Enjin dipadan bersama transmisi Lineartronic® CVT dengan mod manual lapan kelajuan dan suis kawalan penukar gear di stereng.
Sistem X-MODE® Dwi-Mod menawarkan mod Salji/Tanah dan Salji Dalam/Lumpur untuk keyakinan tambahan.
Sistem Pacuan Semua Roda Simetri Subaru yang dikemas kini sama seperti Outback baharu dilengkapi penguncian pembeza tengah yang lebih pantas.
Ia juga mengurangkan putaran roda berlebihan ketika pemanduan off-road dan menggabungkan data sudut stereng untuk meningkatkan kestabilan semasa membelok atau pemanduan di jalan berkelajuan tinggi.
Outback Wilderness yang diperbaharui mempunyai jarak kelegaan bumi 241 milimeter (mm) dan menurut Subaru lebih tinggi berbanding kebanyakan SUV bersaiz penuh.
Suspensi ditala semula untuk meningkatkan kestabilan di permukaan laluan yang kasar.
Pada masa yang sama, ia mengekalkan keselesaan dan pengendalian yang baik ketika pemanduan di jalan raya hasil penggunaan penyerap hentak elektronik terkawal baharu.
Sensor pecutan dalam unit kawalan elektronik dan suspensi hadapan mengesan keadaan jalan dan kenderaan untuk mengawal daya redaman secara masa nyata.
Sistem ini berfungsi seakan skyhook (sistem kawalan suspensi dinamik) untuk memastikan olengan minimum dan kestabilan pemanduan yang tinggi.
Di laluan off-road, penyerap hentak bekerja bersama X-MODE® untuk memberi kawalan lebih baik di permukaan tidak rata tanpa menjejaskan keselesaan di jalan berturap.
Outback Wilderness 2026 turut menawarkan sudut depan (approach angle), sudut belakang (departure angle) dan sudut tengah (breakover angle) yang dipertingkatkan berbanding Outback 2026 lain.
Sudut depan meningkat kepada 20 darjah (berbanding 18 darjah), sudut tengah menjadi 21.2 darjah (berbanding 19.4 darjah) dan sudut belakang meningkat kepada 22.5 darjah (berbanding 21.4 darjah).
Tayar semua permukaan (A/T) Bridgestone Dueler dipasang pada rim 17 inci hitam kusam eksklusif Wilderness untuk prestasi lebih baik di jalan berlumpur atau berbatu.
Penambahbaikan turut dibuat pada alat penunda pilihan dengan penyambung tujuh pin dan empat pin serta bampar belakang yang direka semula.
Ciri-ciri memudahkan pemasangan alat penunda dan menyokong kapasiti menunda sehingga 1,588 kilogram (kg).
Dari segi reka bentuk, Wilderness tampil lebih rugged dan lasak.
SUV ini hadir standard dengan rel bumbung bertingkat jenis tangga yang dilengkapi penanda ukuran dan keupayaan beban statik 363 kg (dinamik 100 kg).
Ia turut dilengkapkan dengan penyambung tali yang dipertingkatkan, pelindung bawah badan, serta lampu kabus heksagon LED bulat untuk pengembaraan off-road.
Cermin sisi hitam kusam, pelindung sisi, lampu hadapan, bampar hadapan yang lebih besar, dan gril SUBARU menyerlahkan kekukuhan serta ketahanan Outback Wilderness.
Riasan luaran berwarna tembaga anod pada rel bumbung, lampu kabus dan lampu undur melambangkan identiti Wilderness.
Di bahagian dalam, Outback Wilderness dilengkapi dengan kerusi bebas haiwan yang menggunakan balutan StarTex® yang kalis air dan mudah dibersihkan.
Riasan dalaman berwarna tembaga anod adalah eksklusif untuk varian Wilderness.
Buat pertama kalinya, balutan kulit Nappa untuk kerusi hadapan dengan fungsi pengudaraan, bumbung suria dan Paparan Sekeliling 360 darjah ditawarkan pada model Wilderness.
Ruang kargo berkapasiti 980 liter bertambah kira-kira 57 liter berbanding model terdahulu.
Turut dilengkapi cangkuk utiliti dan penutup kargo pelbagai guna yang diperbuat 100 peratus daripada bahan kitar semula.
Penutup kargo ini boleh berfungsi sebagai pemisah, tempat penyimpanan peralatan, atau pelindung untuk mengelakkan calar dan kotoran daripada haiwan peliharaan dan barang.
Apabila digunakan sebagai penutup kargo, ia boleh dipanjangkan dengan mudah untuk menutup pelbagai kawasan ruang kargo dan disimpan dengan kemas dalam poket apron trim apabila tidak digunakan.
Cangkuk utiliti boleh menampung beban hingga 2.7 kg dan membolehkan ruang kargo digunakan untuk pelbagai keperluan seperti menggantung pakaian, peralatan atau penutup kargo.
Dengan menggunakan titik penambat yang dibina terus ke rangka badan, cangkuk ini boleh dipasang di lapan lokasi di ruang kargo.
Terdapat empat cangkuk di sebelah kiri dan empat di sebelah kanan, membolehkan penggunaan ruang yang lebih cekap serta pelbagai konfigurasi penutup kargo.
Sistem Subaru Multimedia Plus 12.1 inci yang lebih besar dan terintegrasi bersama meter digital penuh 12.3 inci kini menjadi kelengkapan standard dalam Outback Wilderness.
Skrin sentuh resolusi tinggi 12.1 inci ini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar dengan paparan skrin penuh.
Sistem multimedia ini turut berfungsi sebagai paparan maklumat pusat dengan integrasi meter gabungan serta kawalan pada skrin untuk audio dan navigasi.
Ciri tambahan termasuk sambungan telefon bebas tangan dan penstriman audio Bluetooth®, radio AM/FM, kamera pandangan belakang, SiriusXM® dan kemas kini over-the-air.
Harga dan spesifikasi penuh Subaru Outback Wilderness akan diumumkan menjelang pelancarannya pada awal 2026.






















