Advertisements
Artikel Pilihan

SUBARU LANCAR WRX STI SPORT R, 275PS & 375NM TORK. RM 141K JE….

Subaru telah memperkenalkan WRX STI Sport R untuk pasaran Jepun sebagai model baharu dalam rangkaian WRX yang kini kembali menawarkan pilihan transmisi manual enam kelajuan. Model ini menggabungkan enjin boxer turbo 2.4 liter dengan transmisi manual TY85, beberapa penambahbaikan pada bahagian casis, suspensi dan sistem brek bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih sporty.

Menurut Subaru Corporation, WRX STI Sport R dibangunkan untuk menyerlahkan keseronokan pemanduan menerusi gabungan enjin berprestasi tinggi, kawalan kenderaan yang lebih responsif dan penglibatan pemandu secara langsung. Tempahan untuk model ini dibuka di seluruh rangkaian pengedar Subaru di Jepun mulai 19 November 2026.

Dari segi mekanikal, WRX STI Sport R menggunakan enjin empat silinder mendatar atau boxer 2.4 liter DOHC 16-injap dengan teknologi Dual AVCS dan suntikan terus bersama pengecas turbo DIT. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 275 PS pada 5,600 rpm dan tork 375 Nm antara 2,000 hingga 4,800 rpm.

Kuasa disalurkan kepada keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda kekal Symmetrical AWD dengan bantuan transmisi manual enam kelajuan TY85. Transmisi ini mempunyai sejarah penggunaan pada model berprestasi tinggi Subaru dan dibangunkan dengan penekanan terhadap kekuatan, ketahanan serta ketepatan pertukaran gear.

Subaru turut melakukan penambahbaikan pada mekanisme transmisi TY85 dengan menyemak semula beberapa komponennya. Hasilnya pergerakan bebas atau kelonggaran pada mekanisme pertukaran gear berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus berbanding WRX generasi terdahulu.

Kelegaan antara komponen dan geseran dalaman juga dioptimumkan supaya sepadan dengan talaan enjin turbo 2.4 liter yang digunakan pada model ini. Hasil penambahbaikan tersebut dikatakan memberikan rasa pertukaran gear lebih pantas, tepat dan mempunyai maklum balas mekanikal yang lebih jelas.

Subaru turut menggunakan pengalaman daripada aktiviti sukan permotoran, khususnya perlumbaan Super Taikyu, untuk membangunkan dua teknologi tambahan pada model ini. Pertama ialah sistem kawalan tekanan pengecas turbo yang telah dioptimumkan bagi memberikan respons pecutan lebih pantas apabila pemandu menekan pedal pendikit.

Kedua ialah fungsi RevSync yang melakukan pelarasan putaran enjin secara automatik ketika pemandu menurunkan gear. Sistem auto-blipping ini menyelaraskan putaran enjin dengan kelajuan transmisi bagi menghasilkan pertukaran gear lebih lancar serta mengurangkan beban kerja pemandu.

WRX STI Sport R turut dilengkapi sistem Drive Mode Select seperti Comfort, Normal, Sport, Sport+ dan Individual. Dalam mod Sport+, Subaru memberikan keutamaan kepada respons tork yang lebih langsung terhadap input pedal pendikit. Enjin akan memberikan tindak balas lebih segera sepanjang julat putaran bagi menghasilkan pecutan lebih responsif, selain memudahkan pemandu mengawal penghantaran kuasa ketika memandu di jalan berliku.

Bagi meningkatkan kestabilan dan keselesaan, model ini menggunakan penyerap hentak elektronik daripada ZF yang menerima talaan khusus. Sistem tersebut boleh mengubah daya redaman mengikut keadaan pemanduan, sekali gus mengimbangi keperluan pengendalian sporty dengan keselesaan ketika digunakan dalam situasi harian.

Talaan suspensi khusus itu dibangunkan dengan matlamat membolehkan WRX STI Sport R mengambil selekoh jalan berliku dengan lebih yakin. Kawalan penyerap hentak turut disepadukan dengan pilihan mod pemanduan supaya karakter suspensi boleh disesuaikan mengikut mod yang dipilih.

Sistem brek pula menggunakan komponen Brembo dengan angkup monobloc berstruktur tegar dengan roda depan dilengkapi angkup enam piston jenis opposed-piston, manakala roda belakang menggunakan angkup dua piston. Kedua-duanya dipadankan dengan cakera brek jenis drilled bagi membantu pelesapan haba.

Subaru menjelaskan penggunaan komponen tersebut bertujuan mengurangkan perubahan bentuk angkup ketika membrek dengan kuat. Gabungan struktur tegar dan cakera yang mempunyai keupayaan pelesapan haba lebih baik membolehkan prestasi membrek dikekalkan secara konsisten ketika digunakan berulang kali, selain memberikan kawalan membrek lebih baik.

Dari segi keselamatan, WRX STI Sport R turut dilengkapi sistem bantuan pemandu EyeSight sebagai kelengkapan standard walaupun menggunakan transmisi manual. Sistem tersebut menggunakan kamera stereo bersama sebuah kamera monokular sudut lebar bagi membantu mengesan keadaan persekitaran dan menyokong fungsi mengelakkan pelanggaran.

Antara fungsi bantuan pemanduan yang disediakan termasuk Touring Assist, Lane Departure Prevention dan Emergency Lane Keep Assist. Ini membolehkan Subaru menggabungkan pengalaman pemanduan manual dengan teknologi keselamatan aktif yang lebih menyeluruh.

WRX STI Sport R mempunyai ukuran panjang 4,670 mm, lebar 1,825 mm dan tinggi 1,465 mm, manakala jarak roda ditetapkan pada 2,675 mm. Model ini mempunyai kelegaan tanah 135 mm dan berat kenderaan bermula daripada 1,560 kg. Ia menggunakan tayar bersaiz 245/35R19.

Penggunaan bahan api rasmi berdasarkan kitaran ujian WLTC Jepun ialah 10.0 km/liter. Ini bermakna secara teori, tangki bahan api yang mempunyai kapasiti 63 liter dan enjin memerlukan petrol premium tanpa plumbum membolehkan WRX dipandu sejauh 630km untuk satu isian penuh

Subaru menawarkan sebanyak lapan pilihan warna badan, termasuk WR Blue Pearl yang menjadi warna ikonik model WRX. Pilihan lain ialah Ceramic White, Ice Silver Metallic, Magnetite Gray Metallic, Crystal Black Silica, Ignition Red, Galaxy Purple Pearl dan Sapphire Blue Pearl.

Di Jepun, WRX STI Sport R ditawarkan pada harga RM 141,000 yen termasuk cukai penggunaan 10 peratus. Subaru menetapkan sasaran jualan sebanyak 330 unit sebulan untuk model ini. Kehadiran WRX STI Sport R memperlihatkan usaha pengeluar Jepun tersebut untuk terus menawarkan pengalaman pemanduan manual dalam segmen sedan prestasi, dengan menggabungkan teknologi yang diperoleh daripada aktiviti sukan permotoran bersama sistem keselamatan dan keselesaan moden.

Google ads
Back to top button