Buletin

SUZUKI PERKENAL XL7 HYBRID ALPHA KURO DI INDONESIA, HARGA BERMULA RM93K

Suzuki menambah satu lagi pilihan dalam rangkaian SUV tiga baris mereka dengan memperkenalkan XL7 Hybrid Alpha Kuro, varian tertinggi yang tampil lebih eksklusif dan berani.

PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) mengumumkan pelancaran model ini sebagai jawapan kepada sambutan hangat yang diterima oleh varian Alpha sebelum ini.

Mengusung konsep serba hitam pada eksterior, XL7 Hybrid Alpha Kuro membawa imej elegan, tangguh, serta memberi ruang kepada pemilik untuk mengekspresikan gaya hidup yang berbeza.

Dari lampu utama hingga garnish belakang, termasuk bumper, roof rail, hingga door handle, semuanya dibalut nuansa hitam yang menegaskan karakternya.

Bahagian belakang turut menampilkan spoiler atas, garnish pintu bagasi, dan emblem khas Alpha dalam warna senada, memberikan kesan misteri sekaligus premium.

Suzuki menawarkan tiga kombinasi warna dengan aksen hitam – Cool Black, Savanna Ivory–Black Two Tone, serta Snow White Pearl–Black Two Tone, agar pengguna boleh memilih sesuai personaliti masing-masing.

Dari segi teknologi, SUV ini dilengkapi sistem Smart Hybrid Vehicle by Suzuki (SHVS) yang meningkatkan kecekapan bahan api tanpa mengorbankan prestasi. Dengan jarak kelegaan tanah 200mm, XL7 Hybrid Alpha Kuro sesuai untuk digunakan sama ada di jalan bandar mahupun laluan luar kota yang mencabar.

Kabin luas untuk tujuh orang penumpang dan material dalaman yang berkualiti menjadikannya pilihan praktikal untuk keluarga atau perjalanan jarak jauh.

Ditawarkan pada harga bermula Rp312 juta (anggaran RM93,000) untuk pasaran Jakarta dengan transmisi automatik, model ini sudah mulai dipasarkan di rangkaian pengedar rasmi Suzuki sejak awal September 2025.

Kehadiran varian Kuro melengkapkan keluarga XL7 sedia ada – Zeta, Beta, dan Alpha, sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Google ads
Back to top button