
GR COROLLA TERIMA NAIKTARAF BARU TAHUN 2026
Beberapa hari selepas berita tentang varian GR Corolla GRMN yang bakal dilancarkan tersebar, tumpuan kini beralih kepada versi terbaru GR Corolla. GR Corolla 2026 ini menerima beberapa kemaskini ] termasuk badan yang lebih tegar, sistem penyejukan enjin yang dipertingkat, dan sistem audio yang dinaik taraf. Paling penting ialah syarikat Toyota berjanji untuk menambah jumlah bekalan tanpa menaikkan harga.
GR Corolla 2026 yang dipertingkat ini dibina berdasarkan pengalaman Toyota di siri perlumbaan Super Taikyu, mencerminkan kepercayaan Akio Toyoda bahawa sukan permotoran adalah medan ujian terbaik untuk menghasilkan kereta jalan raya yang lebih baik.
Bagi tujuan itu, jurutera menambah sekitar 13.9 meter (45.6 kaki) pelekat struktur, menjadikan jumlah keseluruhan 32.7 meter (107.3 kaki). Penambahan ini difokuskan pada bahagian depan badan, lantai, dan ruang roda belakang, mengukuhkan casis tanpa menambah berat ketara.

Menurut Toyota, kekakuan (rigidity) amat penting untuk pemanduan stabil di “litar luar negara” di mana daya G menegak dan lateral lebih kuat berbanding “litar domestik” terutama ketika dipandu di Nürburgring.
Bahagian penyejukan turut diberi perhatian, dengan saluran udara baru pada pengambilan sekunder yang direka untuk menstabilkan suhu enjin ketika pemanduan berterusan pada beban tinggi. Matlamatnya ialah supaya pemandu dapat menikmati potensi penuh kereta ini untuk tempoh lebih lama di litar.
Di bahagian dalam, sistem audio premium JBL pilihan telah dipertingkat dengan tambahan subwoofer di ruang but, menjadikan jumlah pembesar suara kepada sembilan unit. Semua kereta dengan JBL kini juga dilengkapi sistem Active Sound Control (ASC) yang dikemas kini sebagai ciri standard.

ASC ini ditala untuk menapis bunyi enjin kasar sambil menawarkan tiga corak bunyi boleh pilih dengan tahap kelantangan berbeza, bergantung pada mod pemanduan. Ia boleh menambah karakter pemanduan semasa pecutan dan pertukaran gear dengan nada lebih menarik, malah mensimulasikan kesan “bubbling overrun” ketika pedal minyak dilepaskan.
Bagi mereka yang lebih gemar suasana senyap, tak perlu risau kerana sistem ini boleh dimatikan dan boleh dipadam bila-bila masa. Tiada perubahan pada enjin, dengan unit G16E-GTS tiga silinder masih menghasilkan 300 hp dan 400 Nm tork. Kuasa dihantar ke semua roda GR-Four melalui transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.
Toyota juga sedang menyiapkan naik taraf untuk pemilik GR Corolla sedia ada yang membeli sebelum penambahbaikan tahun 2024. Perisian baharu akan membuka tambahan 30 Nm tork, menyamai model lebih baru.

Selain itu, tetapan baharu untuk sistem GR-Four akan mengubah agihan kuasa antara gandar depan dan belakang bergantung pada mod pemanduan yang dipilih. Naik taraf ini akan ditawarkan pada musim bunga 2026, dengan harga diumumkan kemudian.
Tempahan untuk GR Corolla yang dikemas kini sudah dibuka di Jepun, dengan penghantaran pertama dijadualkan pada bulan November. Paling menarik ialah harga kekal sama dengan versi manual disenaraikan pada ¥5,680,000 (AS$38,500) manakala versi automatik ¥5,980,000 (AS$40,600).



