BuletinMotosikal

TAHUKAH ANDA HELMET DENGAN VISOR GELAP ADALAH SATU KESALAHAN?

Beberapa minggu yang lalu, tular di laman sosial Facebook mengenai seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikompaun pihak berkuasa atas kesalahan memakai topi keledar dengan visor gelap.

Berdasarkan status lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Runner, inilah kali pertama dia mendapat kompaun sepanjang 10 tahun menunggang motosikal kerana menggunakan topi keledar visor gelap. Tambahnya lagi, dia langsung tidak tahu penggunaan visor hitam adalah satu kesalahan.

Bagi mengetahui lebih lanjut, Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Ir Mohamad Dalib memberikan penjelasan terperinci mengenai penggunaan topi keledar visor gelap.

Berikut perkongsian Datuk Ir Mohamad Dalib;

Mengikut kaedah-kaedah Motosikal, Topi Keledar 1973 (PU (A) 43/1973), penggunaan visor gelap adalah satu kesalahan dan mereka yang menggunakannya boleh dikenakan tindakan kompaun.

“Topi keledar boleh dipasang dengan apa jua jenis visor yang jernih dan tidak berwarna dengan syarat tiada sebarang alat tambahan yang boleh menutup mana-mana bahagian muka di antara kening dan dagu

“Cermin visor untuk motosikal mestilah lutsinar 70 peratus dan tidak ada yang terkecuali. Tak kira sama ada orang awam, Polis, JPJ mahupun mana-mana penguatkuasa, penggunaan visor gelap adalah dilarang.”

KENAPA JADI SATU KESALAHAN?

Kenapakah penggunaan visor gelap menjadi satu kesalahan? Datuk Ir Mohamad Dalib menjelaskan, tujuan utama adalah untuk memastikan wajah dapat dilihat jelas selain mengelak kes-kes jenayah berlaku.

“Begitu juga komunikasi mata atau eye contact antara penunggang motosikal dengan pengguna lain yang sangat penting ketika atas jalan raya. Contohnya, kita akan hulur tangan untuk minta diberikan laluan dan senyum sebagai tanda terima kasih,” tambahnya lagi.

Nasihat untuk semua, jika anda sedang melalui sekatan jalan raya atau road block dilakukan pihak berkuasa, lebih molek dan sopan sekiranya visor gelap anda dibuka (bukan tanggal). Kami percaya, anggota penguatkuasa pun masih ada budi bicara untuk tidak mengeluarkan kompaun.

Paling penting dan selamat, sentiasa pastikan visor topi keledar anda dipilih mengikut spesifikasi undang-undang dan melepasi standard keselamatan. Elakkan beli visor murah dan tidak diiktiraf bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

SUMBER: JABATAN PENGANGKUTAN JALAN

Google ads
Back to top button