
HELMET GIVI M37.0 GRANDE TIBA DI PENGEDAR
GIVI Malaysia telah pun memperkenalkan produk terbaru menerusi helmet GIVI M37.0 Grande untuk pasaran Malaysia ketika di Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu.

Bagaimanapun, ketika itu pihak GIVI Malaysia hanya menerima tempahan awal sahaja. Namun, berita yang dinantikan akhirnya tiba apabila GIVI mengumumkan bahawa helmet baharu itu telah pun tiba di pengedar.

Helmet terbaru dari GIVI ini cukup mencuri tumpuan ekoran menampilkan rupa bentuk yang lebih agresif dan sporty bagi sebuah helmet jet. Helmet terbaru ini hadir dengan empat warna solid dan empat warna bercorak masing-masing dijual pada harga RM360 dan RM400.
Selain reka bentuk serba baharu berlainan dengan barisan helmet sedia ada, M37.0 Grande ini turut mencapai standard keselamatan ECE22.06 yang terbaru. Ini bermakna, model terbaru ini berjaya melepasi lebih 20 poin impak berbanding ECE22.05

Menurut GIVI, M37.0 Grande ini hadir dengan dua cengkerang, S dan M serta L dan XL.
Sudut perincian menyaksikan helmet ini dilengkapi dengan tiga corong udara bagi memastikan aliran udara yang maksimum sekaligus mengelakkan dari terkumpulnya haba dalam helmet.

Ruangan dalam pula menempatkan penggunaan fabrik anti-bakteria dan cepat kering selain boleh ditanggalkan untuk tujuan pembasuhan.
Sebagai helmet jet, M37.0 Grande ini juga menggunakan Micrometric Quick Release Buckle yang mudah dipakai dan ditanggalkan meskipun menggunakan sarung tangan.







