Buletin

TOYOTA ALPHARD DAN VELLFIRE GENERASI BAHARU KINI SEDIA UNTUK TEMPAHAN, HARGA BERMULA RM438K

UMW Toyota Motor akhirnya mengumumkan bahawa Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu kini tersedia untuk tempahan pada harga RM538,000 (Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge) sementara Toyota Vellfire 2.5 mempunyai tanda harga RM438,000.

Dari segi dimensi, kedua-dua MPV ini berukuran 4,995mm (panjang), 1,850mm (lebar) dan jarak roda pada 3,000mm. Bagi ketinggian pula, Alphard adalah setinggi 1,935mm sementara Velfire 1,945mm.

Untuk rekod, MPV generasi baharu ini ditawarkan empat pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal, Precious Leo-Blond (Alphard sahaja) dan Black.

Alphard dan Vellfire baharu menampilkan reka bentuk lebih menarik, dilengkapi dengan gril tersendiri, lampu LED penuh serta terdapat lampu membelok jenis sekuential di bahagian depan dan belakang.

Kabin kedua-dua model hadir bernuansa mewah termasuklah skrin panel instrumen TFT 12.3-inci, skrin paparan head-up, bumbung kaca panorama dengan pencahayaan semula jadi, tempat duduk dengan fungsi pemanas dan ventilasi.

Bukan itu sahaja, turut disertakan ialah sistem pencahayaan ambien 64 warna, lampu membaca boleh laras, penggunaan bahan jenis kulit dan woodgrain, manakala semua suis mekanikal dan kawalan butang diletakkan secara optimum untuk mudah dicapai.

Ciri keselamatan Toyota Safety Sense merangkumi Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Road Sign Assist (RSA), dan Adaptive High-beam System (AHS).

Dari segi kuasa, Alphard dikuasakan oleh enjin 2.4 liter turbo T24A-FTS, menghasilkan 275hp dan 430Nm tork. Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi automatik Direct Shift 8-kelajuan.

Untuk Vellfire, ia dijana oleh enjin 2.5 liter 2AR-FE, berupaya menghamburkan kuasa 180hp, 235Nm tork dan dipadankan bersama transmisi CVT-i dengan Sports Sequential Shiftmatic.

Sehubungan dengan pengumuman MPV generasi baharu itu, UMW Toyota Motor dalam pada masa sama merekodkan hasil jualan memuaskan, mencatat 8,669 unit (Toyota 8,559 unit, Lexus 110 unit) sepanjang tempoh Jun 2023.

Jualan tahun sehingga kini untuk Jun 2023 menunjukkan pertumbuhan luar biasa, berjaya menjual  48,659 unit, meningkat sebanyak 6.0 peratus berbanding dicatatkan pada Jun 2022.

GALERI:

Google ads
Back to top button