Buletin

TOYOTA INNOVA ZENIX 2023 TIBA DI MALAYSIA. VARIAN ICE & HIBRID, PLATFORM TNGA, TSS 3.0, BERMULA RM165K

UMW Toyota Motor hari ini memperkenalkan Toyota Innova Zenix serba baharu secara rasmi untuk pasaran tempatan. Jentera tujuh tempat duduk itu hadir dalam dua pilihan enjin iaitu hibrid dan pembakaran dalaman (ICE). 

Kalau sebelum ini Innova lebih dikenali sebagai model MPV, kini Toyota menjenamakan semula produk yang termasuklah dalam Innovative International Multi-Purpose Vehicle (IMV) itu sebagai sebuah crossover.

Jadi, Zenix merupakan evolusi daripada konsep asal innova. Ini kerana ia perlu memenuhi keperluan pelanggan generasi baharu yang mahukan sebuah kenderaan luas, selesa dan lebih premium. 

Buat masa sekarang, Zenix ditawarkan dalam dua varian iaitu Innova Zenix 2.0 V (8 tempat duduk) yang dilengkapi enjin Dynamic Force bersama padanan kotak gear CVT. Sementara varian lebih tinggi iaitu Innova Zenix 2.0 HEV (7 tempat duduk) dikuasakan oleh rangkaian kuasa hibrid. 

Enjin Dynamic Force empat silinder 16 valve itu mampu menjana kuasa mencecah 174PS pada 6,600rpm dan tork 205Nm pada 4,500 hingga 4,900rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Direct Shift CVT 10 kelajuan bersama ciri Shiftmatic. 

Varian hibrid pula menggunakan rangkaian kuasa yang terdiri daripada enjin bersesaran 2.0 liter berkuasa 152PS dan tork 188Nm yang dipadankan bersama transmisi E-CVT.

Enjin tersebut digabungkan dengan sistem hibrid generasi kelima berkuasa 186PS bersama ciri D4-S (Direct & Port Injection) dan kitaran Atkinson untuk tahap penjimatan serta prestasi yang mengagumkan.

Lebih menarik, varian hibrid didatangkan dengan mode pemanduan EV yang membolehkannya digerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya untuk jarak dekat. Pengenalan versi hibrid membuktikan komitmen UMW Toyota Motor untuk mencapai sasaran neutraliti karbon selaras matlamat Malaysia menjelang 2050. 

Pelanggan tidak perlu bimbang untuk membeli varian hibrid kerana ia hadir dengan jaminan pek bateri yang merangkumi inverter dan ECU selama lapan tahun tanpa had perbatuan. 

Bagi mereka yang mahukan sebuah kenderaan untuk mengangkut barang dan penuh fungsi, UMW Toyota Motor masih menawarkan model Innova 2.0V dan 2.0G yang dipasang tempatan (CKD).

Dari segi dimensi, ia tidak jauh berbeza berbanding Innova GC iaitu 20mm lebih panjang, 15mm lebih lebar dan penambahan 100m pada tapak roda.

Melihat pada bahagian luaran, perbezaan paling ketara pastinya perubahan reka bentuk daripada sebuah MPV menjadi crossover yang lebih cantik. Mengetengahkan tema “Premium & Tough”, ia hadir dengan siluet crossover yang seimbang dan dinamik.

Penampilan tersebut diserlahkan menerusi gril radiator berbentuk trapezium, corak mesh pada bahagian bawah bampar hadapan dan bingkai bawah gril berwarna krom. Bahagian sisi nampak menarik dengan arca roda berwarna hitam dan penggunaan rim aloi 5 jejari berkembar bersaiz 18 inci yang dibalut tayar 225/50R18. 

Bahagian belakang pula kelihatan lebih sporty dengan sepasang lampu LED nipis, kemasan krom pada bawah cermin, spoiler dan bampar bawah berwarna hitam, lengkap bersama reflektor.  

Masuk ke ruang kabin, jelas sekali Innova Zenix lebih premium menerusi penggunaan material lembut pada papan pemuka. Tempat duduk pula dibalut material kulit artifisil berwarna hitam yang dikontraskan dengan kemasan cerah pada bumbung. Selain bumbung panoramik, varian hibrid didatangkan dengan dua captain seat.

Varian Zenix 2.0V menggunakan kerusi baris kedua yang biasa untuk tiga orang penumpang dan boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40. Tempat duduk baris ketiga pula menawarkan konfigurasi lipatan 50:50 untuk memberikan susun atur kabin yang lebih pelbagai. 

Papan pemuka dipasang dengan skrin sentuh bersaiz 10.1 inci bersama ketersambungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto (wayar).

Pemandu dihidangkan dengan paparan multi maklumat (MID) bersaiz tujuh inci yang turut memaparkan amaran had kelajuan dan sistem Road Sign Alert. 

Satu lagi perubahan besar yang diterima oleh Zenix ialah platform Toyota New Global Architecture (TNGA), sekali gus menggantikan kerangka lama sebelum ini. TNGA bukan sahaja 170kg lebih ringan, malah dapat menjimatkan kos pembuatan, lebih fleksibel, teguh, selesa, stabil dan mempunyai titik graviti rendah.  

Aspek pengendalian jentera itu diserahkan kepada gabungan suspensi jenis topang Macpherson di depan dan torsion beam di belakang. 

Untuk keselamatan, Zenix dilengkapi sistem Toyota Safety Sense 3.0 (TSS 3.0) yang terdiri daripada ciri aktif berikut: 

  • Pre-Collision System (PCS) 
  • Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) 
  • Auto High Beam (AHB) 
  • Lane Departure Alert (LDA)
  • Lane Tracing Assist (LTA) 
  • Road Sign Assist (RSA)

Innova Zenix hadir dalam lima pilihan warna iaitu kelabu metalik, hitam, gangsa, perak dan putih mutiara. Untuk pelanggan fleet, ada pilihan warna putih solid (Super White). 

Jika berminat, Innova Zenix 2.0 V boleh anda miliki pada harga bermula RM165,000 seunit, manakala varian Innova Zenix 2.0 HEV pula berharga RM202,000. 

GALERI

Google ads
Back to top button