" "
Buletin

TOYOTA TURUNKAN HARGA BZ4X 2025 DI AMERIKA SYARIKAT!

Kepada yang mengikuti perkembangan kenderaan elektrik (EV) anda mungkin tahu mengenai perang harga di antara pengeluar.

Perang atau potongan harga, diskaun, rebat, pakej dan apa sahaja yang setara turut berlaku pada kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Memandangkan harga EV masih berada pada julat tinggi, perang dan potongan harga membuka peluang untuk lebih ramai memilikinya.

Terbaru Toyota mengumumkan Harga Runcit yang Disyorkan Pengeluar (MSRP) bZ4X yang lebih rendah untuk pelanggan di Amerika Syarikat (AS) iaitu sehingga AS$6,000 (RM26,940).

Selain harga lebih rendah, Toyota turut memperkenalkan edisi Nightshade baharu dan pertama seumpamanya untuk BEV.

Untuk model 2025 Toyota menawarkan varian XLE, Limited dan Nightshade dan bakal tiba di pengedar pada awal tahun.

Pelanggan Nightshade hanya diberi pilihan pacuan semua roda (AWD) manakala XLE dan Limited di dalam kedua-dua pacuan roda depan (FWD) dan AWD.

Harga bZ4X mengikut varian (MSRP):

  • XLE FWD: AS$37,070 (RM166,454) – pengurangan hampir 14% / AS$6,031.89 
  • XLE AWD: AS$39,150 (RM175,781)
  • Limited FWD: AS$41,800 (RM187,679) / pengurangan sebanyak AS$5,380 (RM24,156)

bZ4X dibekalkan bateri litium-ion 71.4 kilowatt-jam (kWj) untuk model FWD dan 72.8 kWj bagi model AWD.

Dari segi jarak, varian XLE FWD boleh dipandu sehingga 405 kilometer (km) dan 366 km (EPA) untuk AWD.

Varian Limited FWD sehingga 380 km dan 357 km untuk Limited dan Nightshade AWD. Dari segi prestasi, model bZ4X FWD memiliki 201 kuasa kuda (hp) dan 265Nm. Model AWD pula berkuasa 214 hp dan 336Nm.

Pecutan dari 0 sehingga 97 kilometer sejam (km/j) untuk model FWD memerlukan 7.1 saat dan 6.5 saat bagi model AWD.

Untuk pengecasan, bZ4X menggunakan penyambung J1772/CCS1 dan membolehkan pengecasan pantas DC Tahap Tiga.

Di bawah keadaan ideal dan menggunakan sumber 240V Tahap Dua (32A), bZ4X boleh dicas dari Nyalaan Bateri Rendah sehingga penuh dalam tempoh 9.5 jam. Input maksimum AC adalah 6.6 kW. 

Pengecasan pantas dari bateri rendah sehingga 80 peratus memerlukan sekitar 30 minit bagi model FWD dan 35 minit untuk AWD (150 kW). 

Sebagai varian baharu, bZ4X Nightshade istimewa dengan pilihan warna dua tona Wind Chill Pearl atau Heavy Metal yang dipadan bersama bumbung hitam. 

Bahagian dalam membawa tema gelap dengan perkakasan hitam, kerusi balutan SofTex® dan fabrik, stereng balutan kulit dan sulaman merah.

Nightshade diasaskan dari XLE dan dilengkapi rim aloi 20 inci warna hitam. Perkakasan lain turut diwarnakan hitam seperti lencana, hendal pintu dan spoiler.

Google ads
Back to top button