Buletin

TOYOTA bZ4X FACELIFT TAWAR JARAK GERAK HINGGA 746KM, KUASA 342HP – HARGA BERMULA RM120K

Toyota sekali lagi membuktikan kesungguhannya dalam dunia kenderaan elektrik dengan memperkenalkan versi dipertingkat bagi SUV elektrik tulennya, bZ4X.

Model ini kini tampil dengan jarak pemanduan lebih jauh, kuasa lebih besar, dan pengalaman pengecasan yang jauh lebih efisien, semuanya hasil daripada pendekatan “multi-pathway” Toyota dalam menuju neutral karbon.

Antara peningkatan paling ketara ialah jarak pemanduan sehingga 746km bagi varian FWD (dan 687km untuk 4WD) hasil peningkatan bilangan sel bateri daripada 96 kepada 104, menjadikan kapasiti keseluruhan kini 74.7kWh.

Toyota turut berjaya mengurangkan kehilangan tenaga e-axle sehingga 40 peratus, sekaligus menjadikan penggunaan tenaga lebih cekap tanpa perlu menambah kapasiti bateri secara berlebihan.

Bagi keadaan cuaca sejuk, sistem “battery preconditioning” membolehkan pengecasan dari 10% ke 80% hanya dalam 28 minit menggunakan pengecas pantas 150kW, walaupun pada suhu serendah -10°C.

Toyota turut menjalankan ujian lapangan di Norway dalam suhu ekstrem -30°C bagi memastikan prestasi sebenar dapat dikekalkan.

Dari segi kuasa, versi 4WD kini menampilkan output sistem maksimum 252kW (342hp) — hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada model sebelumnya.

Pecutan dari 0–100km/j kini hanya 5.1 saat, menjadikan bZ4X antara SUV elektrik terpantas dalam kelasnya. Sistem brek regeneratif juga kini boleh dilaras dalam empat tahap, memberikan kawalan pemanduan yang lebih natural dan responsif.

Rekaan luaran turut diberi sentuhan baharu dengan wajah depan “hammerhead” yang lebih tajam serta lampu LED garis lurus yang moden dan agresif. Ruang kabin pula lebih luas dengan tema garisan mendatar serta bumbung panoramik bagi varian Z.

Dari segi pengecasan, Toyota memperkenalkan pengecas asal 6kW sebagai pilihan rasmi di pengedar. Dengan sistem kawalan permintaan tambahan, pemilik boleh mengecas di rumah tanpa risau beban elektrik melampau, manakala pemasangan dan khidmat selepas jualan dikendalikan sepenuhnya oleh pengedar Toyota.

Turut diperkenalkan ialah perkhidmatan pengecasan mudah alih “TEEMO”, yang membolehkan pengguna BEV dan PHEV mencari, menempah dan membayar pengecasan terus melalui aplikasi.

Sekitar 30% pengecas TEEMO menyokong kuasa maksimum 150kW, dan pembeli bZ4X baharu menerima langganan percuma selama setahun (dua sesi 30 minit sebulan).

Menariknya, meskipun dilengkapi pelbagai peningkatan, harga model ini kini lebih berpatutan, iaitu bermula sekitar ¥3.9 juta (lebih kurang RM120,000) selepas subsidi untuk varian G, dan sehingga ¥5.5 juta (sekitar RM170,000) untuk varian Z FWD.

Google ads
Back to top button