Buletin

TOYOTA SIASAT DAKWAAN SUV ELEKTRIK BZ4X CAPAI SEPARUH JARAK OPERASI SAHAJA

Toyota mungkin antara yang terkebelakang dalam memperkenalkan model EV.

Malah, pelancaran model SUV elektrik pertama mereka turut berdepan dengan pelbagai masalah, seperti isu tayar mudah tercabut, serta masalah terbaharu di mana bZ4X tidak mampu mencapai jarak gerak seperti yang diiklankan.

Menurut laporan daripada majalah FDM, dua model bZ4X, masing-masing dengan pacuan dua roda dan pacuan semua roda didapati gagal untuk mencapai hampir 50 peratus jarak gerak yang dijanjikan.

bZ4X dengan sistem pacuan dua roda dikatakan mampu mencapai jarak 504 km (mengikut data WLTP), namun dalam ujian yang dijalankan ia hanya mampu mencapai jarak 246 km sahaja.

Sementara bZ4X AWD hanya sekadar mencapai 215 km sahaja, walaupun Toyota mendakwa ia sepatutnya mampu mencapai jarak 461 km.

Walaupun kedua-dua model tersebut diuji dalam keadaan cuaca yang tidak ideal, namun mereka mendapati model Toyota menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan berbanding model lain yang diuji dalam situasi serupa.

Seperti contoh, Tesla Model Y Long Range dengan jarak gerak rasmi 507 km mampu mencapai 70 peratus daripada jarak WLTP yang diiklankan, sementara model Mercedes-Benz EQA dan Volkswagen ID.4 tidak begitu jauh di belakang (67 peratus).

Menurut Carscoops, Toyota Eropah dan Toyota Jepun kini sedang menyiasat dakwaan tersebut untuk mengenalpasti punca sebenar yang menyebabkan masalah bZ4X gagal menawarkan jarak gerak seperti yang digembar-gemburkan. – FDM

Google ads
Back to top button