
TOYOTA bZ7 DIDEDAHKAN: SEDAN ELEKTRIK 5.1-METER DENGAN EKOSISTEM PINTAR XIAOMI DAN HARMONYOS
Pada 10 September lalu, usaha sama GAC-Toyota mendedahkan imej rasmi model elektrik baharu mereka, Toyota bZ7.
Sedan elektrik sepenuhnya ini dijangka membuat penampilan sulung menjelang akhir tahun dan hadir dengan teknologi terkini termasuk sistem pemanduan elektrik serta kokpit pintar berasaskan HarmonyOS daripada Huawei.
Menariknya, bZ7 akan menjadi kenderaan pertama Toyota yang disepadukan ke dalam ekosistem pintar Xiaomi, menghubungkan telefon, rumah pintar dan kereta di bawah konsep “Human x Car x Home”.

Melalui integrasi ini, pengguna boleh melakukan kawalan rentas peranti, contohnya menghidupkan pendingin hawa di rumah terus daripada skrin kawalan di dalam kenderaan.
Dari segi reka bentuk, bahagian hadapan tampil dengan lampu utama berbentuk-C dan muka depan tertutup, manakala sebuah lidar dipasang di atas bumbung untuk menyokong sistem bantuan pemanduan lanjutan hasil kerjasama dengan Momenta.
Bahagian sisi pula menonjolkan gaya fastback dengan cermin suku berbentuk segitiga panjang, pintu tanpa bingkai, pemegang pintu separa tersembunyi, rim multi-spoke bersaiz besar, serta spoiler belakang berbentuk “ducktail”.

Dimensi bZ7 ialah 5,130mm panjang, 1,965mm lebar, 1,506mm tinggi dengan jarak roda 3,020mm, menjadikannya sebuah sedan bersaiz sederhana-besar. Berat kenderaan dicatat pada 2,275kg.
Bahagian dalaman dilengkapi stereng tiga jejari, panel instrumen berbentuk trapezoid, skrin kawalan tengah, pencahayaan ambien serta pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar.
Spesifikasi penuh skrin dan sistem hiburan masih menunggu pengumuman rasmi.

Kuasa pemanduan disumbangkan oleh motor elektrik keluaran Huawei yang menghasilkan sehingga 278hp dengan kelajuan maksimum 180km/j.
Pek bateri jenis lithium iron phosphate dibekalkan oleh CALB-Tech, namun kapasiti sebenar dan jarak perjalanan belum diumumkan.




