
TOYOTA bZ7, LEBIH 5 METER, SIRI ELEKTRIK bZ BERTAMBAH!
Toyota sekali lagi membuktikan kenderaan elektrik (EV) tidak diabaikan. Bukti terbaru ditunjukkan melalui Toyota bZ7 yang dilancarkan di Auto Shanghai 2025.
Pasaran dan permintaan yang besar di China satu yang tidak boleh diabaikan. Di sini tumpuan EV Toyota dan sehingga kini menawarkan bZ4X, bZ3, bZ3X dan bZ5.
bZ7 merupakan sebahagian daripada strategi global Toyota untuk menawarkan pelbagai pilihan elektrifikasi mengikut keperluan pasaran tempatan.
Di luar China Toyota menawarkan bZ4X, Urban Cruiser dan siri van perdagangan Proace.
bZ7 bukan calang-calang model dan dibangunkan sebagai sedan elektrik bersaiz besar dengan panjang keseluruhan melebihi lima meter.
EV ini dibangunkan melalui kerjasama antara Guangzhou Automobile Group Co., Ltd. (GAC), Guangzhou Toyota Motor Co., Ltd. (GTMC) dan Intelligent ElectroMobility R&D Center by TOYOTA (China) Co., Ltd. (IEM by TOYOTA).
bZ7 menggabungkan kekuatan setiap syarikat, termasuk keupayaan Toyota dalam pengilangan yang selamat, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi serta teknologi canggih dari China.
Ia akan dilengkapi dengan teknologi pintar terkini yang sesuai dengan statusnya sebagai model utama dalam barisan BEV Toyota di China.
Dari segi reka bentuk, bZ7 tampil menyerlah sama seperti siri bZ lain dan rekaan fastback menyembunyikan ukuran melebihi lima meter.
Bahagian dalam tampil ringkas seperti EV lain dengan skrin besar di tengah.
Berkenaan rangkaian kuasa, Toyota belum berkongsi dan beberapa media melaporkan bZ7 menggunakan teknologi bateri Blade LFP dari BYD.
Toyota menyasarkan penawaran secara komersial dalam tempoh setahun.









