Buletin

PELAN BESAR KINI KABUR, BYD PERTIMBANG SEMULA KILANG CKD DI TANJUNG MALIM

Perancangan BYD untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (CKD) di Malaysia kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak menentu, walaupun sebelum ini projek tersebut dilihat mampu melonjakkan Perak sebagai hab EV serantau.

Difahamkan, syarikat itu sedang menilai semula cadangan pembinaan fasiliti di Tanjung Malim selepas gagal mencapai persetujuan dengan Ministry of Investment, Trade and Industry (MITI) berhubung syarat baharu yang dikenakan.

Antara isu utama yang menjadi titik perbezaan ialah keperluan supaya 80% kenderaan yang dihasilkan dieksport, manakala hanya 20% dibenarkan untuk pasaran tempatan, itu pun dengan harga melebihi RM200,000.

Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk melindungi pemain industri automotif tempatan seperti Proton dan Perodua, yang menyokong rangkaian vendor tempatan serta peluang pekerjaan dalam skala besar.

Menteri MITI, Johari Abdul Ghani, dilaporkan menegaskan kepentingan mempertahankan industri tempatan, sekali gus menjadikan rundingan ini lebih mencabar berbanding jangkaan awal ketika projek diumumkan pada 2025.

Sebelum ini, kilang yang dicadangkan di KLK TechPark itu dijangka menjadi pemangkin penting kepada pembangunan sektor EV negara, termasuk membuka peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global.

Malah, projek berkenaan juga sebahagian daripada strategi lebih besar negeri Perak untuk membangunkan Tanjung Malim sebagai hab automotif berteknologi tinggi dan pusat teknologi hijau.

Namun kini, situasi dilihat seperti ‘tarik tali’ antara dua pihak. Di satu sisi, BYD agresif memperluas pengaruh di Asia Tenggara, dan di satu lagi, Malaysia yang cuba menarik pelaburan asing tanpa menjejaskan pemain industri sedia ada.

Dengan rundingan yang masih tergantung, masa depan projek ini kekal menjadi tanda tanya. Jika ia gagal diteruskan, impaknya mungkin besar terhadap hala tuju aspirasi EV negara, selain mengubah landskap pelaburan automotif di Malaysia.

Dalam masa sama, perbincangan mengenai kemungkinan penarikan diri pelaburan ini turut hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat di media sosial. – The Rakyat Post

Google ads
Back to top button