
TOYOTA COROLLA HATCHBACK 2027 DIDEDAHKAN – VARIAN FX DIGUGURKAN, HARGA MULA RM100K
Toyota memperkenalkan Corolla Hatchback model tahun 2027 dengan beberapa penambahbaikan yang memfokuskan kepada teknologi kabin dan pilihan aksesori, namun pada masa sama menggugurkan varian FX yang sebelum ini menjadi pilihan peminat gaya sporty.
Perubahan paling ketara dapat dilihat di ruang dalaman. Varian SE kini dilengkapi kluster instrumen digital bersaiz tujuh inci sebagai ciri standard, dipadankan dengan skrin infotainmen lapan inci.
Bagi varian XSE, Toyota menaik taraf kelengkapan standard dengan kluster instrumen digital 12.3-inci serta skrin infotainmen 10.5-inci yang lebih besar, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan lebih moden.

Pelanggan yang memilih varian SE turut boleh mendapatkan SE Premium Package, yang menambah skrin infotainmen 10.5-inci bersama kluster instrumen digital 12.3-inci tanpa perlu beralih ke varian XSE.
Dari aspek luaran, perubahan yang dibuat lebih sederhana dengan penawaran dua warna baharu iaitu Inked dan Blueprint. Toyota bagaimanapun tidak membawa masuk warna kuning mustard yang diperkenalkan di pasaran Jepun.
Satu lagi tarikan ialah pilihan rim aloi asli Toyota bersaiz 18-inci berwarna putih berkilat. Rim tersebut dijangka menjadi pilihan peminat gaya JDM, terutama apabila dipadankan dengan warna badan yang lebih gelap.

Namun, Toyota tidak lagi menawarkan varian Corolla FX, yang sebelum ini dikenali dengan penampilan sporty termasuk rim putih tersebut.
Untuk model 2027, pilihan kini hanya tertumpu kepada varian SE dan XSE, walaupun pembeli masih boleh menambah aksesori seperti spoiler serta rim putih pada varian SE bagi mendapatkan penampilan hampir sama.
Dari segi mekanikal, tiada perubahan dilakukan. Corolla Hatchback masih menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter aspirasi semula jadi yang menghasilkan kuasa 169hp dan tork 205Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik CVT Dynamic Shift.

Di Amerika Syarikat, Corolla Hatchback 2027 dijual pada harga bermula AS$24,780 (sekitar RM100,792) tidak termasuk caj penghantaran.
Harga itu meningkat sedikit berbanding model sebelumnya, dengan varian SE naik AS$200 manakala XSE meningkat AS$500 (RM2,033).

