
HONDA DEDAH RUPA SEBENAR V3R 900 E-COMPRESSOR, LANCAR DI EICMA?
Nampak gayanya Honda bakal melancarkan V3R 900 E-Compressor serba baharu tidak lama lagi berdasarkan pendaftaran homologasi yang dibuat jenama Jepun itu baru-baru ini.
Pendaftaran homologasi tersebut juga mendedahkan rupa sebenar V3R 900 E-Compressor tersebut setelah model prototaip dipamerkan di EICMA, tahun lalu.

Menurut laporan Motorcycle.com, dokumen tersebut mendedahkan bahawa rupa sebenar V3R 900 itu tidak jauh beza dengan prototaip yang dipamerkan di Milan.
Pertamanya, Honda mengekalkan penggunaan single-sided swingarm termasuk corong udara yang diposisikan di bahagian kiri dan kanan tangki.

Ciri lain yang turut dikekalkan termasuk lampu hadapan berbentuk ‘Y’ serta kerangka trellis yang mencuri tumpuan pada model prototaip.
Sementara itu, paten tersebut turut mendedahkan bahawa Honda mengekalkan corak unik cakera brek pada model sebenar.

Buat masa ini Honda masih belum mendedahkan tarikh rasmi pelancaran V3R 900 ini namun berdasarkan pendaftaran homologasi yang dilakukan hampir pasti model baharu ini akan membuat debut global tidak lama lagi.
Untuk rekod, V3R 900 E-Compressor ini mencuri tumpuan ekoran model ini merupakan motosikal berprestasi tinggi dengan enjin 900cc V3 yang dipadankan bersama compressor kawalan elektronik pertama dunia.
GALERI: Honda V3R 900 E-Compressor















