Buletin

LEAPMOTOR MULAKAN PENGELUARAN TEMPATAN C10

Stellantis Malaysia secara rasmi memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan elektrik (EV) Leapmotor di kilang pemasangannya di Gurun, Kedah. Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan industri EV negara melalui model pertama iaitu Leapmotor C10, SUV elektrik segmen-D yang sebelum ini diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

Bagi merealisasikan projek ini, Stellantis melaburkan sebanyak €2.23 juta khusus untuk pembangunan operasi pemasangan Leapmotor, selain perbelanjaan modal (CAPEX) bernilai €3.1 juta bagi menaik taraf kemudahan dan barisan pengeluaran di kilang Gurun. Secara keseluruhan, jumlah pelaburan mencecah €5.33 juta, bersamaan kira-kira RM25 juta berdasarkan kadar pertukaran semasa.

Menurut Stellantis Malaysia, kilang Gurun bukan sahaja akan memenuhi permintaan pasaran tempatan, malah bakal berfungsi sebagai hab pembuatan serantau untuk model Leapmotor bagi pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) di ASEAN serta beberapa pasaran eksport terpilih. Selepas C10, model Leapmotor B10 pula dijadualkan memasuki fasa pemasangan tempatan menjelang penghujung tahun 2026.

Walaupun kini dipasang di Malaysia, Leapmotor C10 CKD mengekalkan spesifikasi yang sama seperti model import sepenuhnya. Ia masih ditawarkan pada harga bermula RM159,000 bagi varian Style dan RM171,000 bagi varian Design, dengan tambahan pilihan warna baharu Pearly White.

Dari segi dimensi Leapmotor C10 mempunyai panjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm serta jarak roda sepanjang 2,825 mm. Saiz ini meletakkannya dalam kategori SUV segmen-D, sekali gus menawarkan ruang kabin yang luas untuk kegunaan keluarga.

Kuasa digerakkan oleh sebuah motor elektrik tunggal yang dipasang pada gandar belakang, menghasilkan 299 PS dan 360 Nm tork. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa sekitar 5.9 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 170 km/j.

Tenaga disimpan di dalam bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 81.9 kWh, membolehkan C10 mencatat jarak pemanduan sehingga 510 km mengikut kitaran WLTP. Untuk pengecasan pantas, SUV ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 180 kW, membolehkan tahap bateri meningkat daripada 30 kepada 80 peratus dalam kira-kira 30 minit. Ia turut menyokong pengecas AC sehingga 11 kW untuk kegunaan harian.

Ruang kabin pula menampilkan rekaan minimalis dengan skrin infotainmen sentuh bersaiz 14.6 inci, panel instrumen digital 10.25 inci, sistem operasi Leap OS, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk hadapan larasan elektrik, bumbung panoramik, sistem audio premium, pencahayaan ambien serta pelbagai fungsi sambungan pintar.

Dari aspek keselamatan, Leapmotor C10 dilengkapi pakej sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kekal lorong, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, kamera 360 darjah serta pelbagai ciri keselamatan aktif yang lain.

Dengan bermulanya pemasangan tempatan ini, Stellantis bukan sahaja memperkukuh kehadiran jenama Leapmotor di Malaysia, malah mengukuhkan lagi peranan negara sebagai hab pengeluaran EV bagi rantau Asia Tenggara.

Langkah ini dijangka membuka ruang kepada lebih banyak model Leapmotor dipasang secara tempatan pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan daya saing jenama itu dalam pasaran EV yang semakin berkembang.

Google ads
Back to top button