Artikel Pilihan

NILU HYPERCAR ENJIN V12 1000HP 11,000 RPM MANUAL

Ketika kebanyakan pengeluar hypercar kini beralih kepada rangkaian kuasa hibrid atau elektrik sepenuhnya, syarikat baharu Nilu27 mengambil pendekatan berbeza apabila berjaya menghidupkan enjin V12 naturally aspirated yang bakal menggerakkan model sulung mereka, NILU Hypercar.

Enjin tersebut berjaya dihidupkan buat kali pertama selepas hampir dua tahun proses pembangunan, menandakan satu lagi pencapaian penting sebelum prototaip memulakan ujian di atas jalan raya. Projek ini diterajui oleh Sasha Selipanov, pereka automotif yang pernah menghasilkan rekaan untuk beberapa jenama hypercar terkenal termasuk Bugatti, Koenigsegg dan Lamborghini.

NILU Hypercar dikuasakan oleh enjin V12 6.5 liter aspirasi normal dengan sudut silinder 80 darjah yang dibangunkan khas oleh Hartley Engines dari New Zealand. Berbeza dengan kebanyakan pengeluar yang mengubah suai enjin biasa, unit ini direka sepenuhnya dari kosong khusus untuk model tersebut.

Sasaran awal enjin ini adalah menghasilkan kuasa sekitar 1,070 hp, namun hasil ujian dyno menunjukkan angka sebenar telah melepasi sasaran berkenaan. Walaupun angkat rasmi masih belum diumumkan, Hartley Engines mengesahkan enjin tersebut mampu beroperasi sehingga 11,000 rpm, menjadikannya antara enjin V12 dengan RPM paling tinggi dibangunkan untuk kegunaan jalan raya.

Bagi mencapai prestasi itu, enjin ini dibangunkan menggunakan konfigurasi diameter besar dan stroke pendek, selain dipadankan dengan camshaft berprofil agresif, sistem aliran udara yang dioptimumkan serta penggunaan komponen ringan dan bahan eksotik bagi memastikan ia mampu beroperasi pada putaran enjin yang sangat tinggi tanpa menjejaskan ketahanan.

Apa yang menjadikan NILU Hypercar lebih unik ialah falsafah pembangunannya yang menumpukan sepenuhnya kepada pengalaman pemanduan tulen. Ketika kebanyakan hypercar moden dipenuhi sistem bantuan pemanduan, skrin digital dan teknologi hibrid, NILU memilih untuk mengekalkan pendekatan mekanikal dengan penggunaan transmisi manual tujuh kelajuan, pelarasan tempat duduk secara manual serta meminimumkan penggunaan elektronik dan sistem bantuan pemandu.

Malah, sistem ekzos “bundle of snakes” yang digunakan turut direka bagi menghasilkan bunyi enjin yang mengingatkan kepada jentera Formula 1 era 1960-an, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan yang lebih emosional kepada pemiliknya.

Selepas selesai menjalani proses ujian dan talaan di New Zealand, enjin tersebut akan dihantar ke fasiliti Nilu27 di Lahr, Jerman untuk dipasang pada prototaip bergerak pertama sebelum ujian jalan dimulakan.

Dalam masa sama, Nilu27 dan Hartley Engines turut merancang menubuhkan usaha sama bagi membangunkan serta menghasilkan enjin pembakaran dalaman berprestasi tinggi untuk pengeluar automotif lain. Langkah ini menunjukkan masih terdapat permintaan terhadap enjin pembakaran dalaman berprestasi tinggi walaupun industri automotif dunia semakin beralih kepada elektrifikasi.

Dengan gabungan enjin V12 naturally aspirated yang mampu berputar sehingga 11,000 rpm, kuasa melebihi 1,000 hp serta penggunaan transmisi manual, NILU Hypercar dilihat sebagai antara projek paling unik dalam dunia automotif moden, menawarkan pengalaman pemanduan analog yang semakin sukar ditemui pada era elektrifikasi.

Google ads
Back to top button