Buletin

JAGUAR LAND ROVER HENTI PENGELUARAN DI CHINA, BERI LALUAN KEPADA FREELANDER 8

Jaguar Land Rover (JLR) secara rasmi menamatkan operasi pengeluaran model tempatan di China selepas lebih 14 tahun, sekali gus menutup satu fasa penting dalam strategi syarikat itu di pasaran automotif terbesar dunia.

Bermula Julai 2026, rangkaian pengedarnya tidak lagi menerima bekalan model yang dipasang secara tempatan. Penamatan itu disusuli dengan jualan penghabisan stok, termasuk Range Rover Evoque L yang ditawarkan pada harga di bawah 180,000 yuan (kira-kira RM106,000), jauh lebih rendah berbanding ketika model itu mula diperkenalkan dan mendapat sambutan hangat pada 2011.

Kemerosotan harga tersebut mencerminkan prestasi JLR yang semakin merudum di China. Jualan syarikat pernah mencapai kemuncak sebanyak 146,400 unit pada 2017, namun susut kepada sekitar 26,000 unit pada 2025.

Antara faktor yang menyumbang kepada kejatuhan itu ialah kelewatan memperkenalkan model baharu, kegagalan mengikuti perkembangan pesat kenderaan elektrik (EV), selain terlalu bergantung kepada potongan harga bagi merangsang jualan.

Model tempatan seperti Evoque L dan Discovery Sport juga semakin sukar bersaing dengan pengeluar China seperti Aito, Nio, Li Auto dan Zeekr yang menawarkan teknologi kabin pintar, sistem bantuan pemanduan moden serta rangkaian kuasa elektrik dalam segmen harga 300,000 hingga 500,000 yuan.

Situasi itu turut memberi tekanan kepada pengedar. Laporan media tempatan menyebut mereka perlu menyimpan stok model pemasangan tempatan dalam jumlah besar bagi mendapatkan kuota model import seperti Range Rover yang lebih menguntungkan.

Apabila permintaan merosot, pengedar terpaksa menawarkan diskaun besar untuk menghabiskan stok, menyebabkan kerugian purata sekitar 30,000 yuan bagi setiap kenderaan tempatan yang dijual sepanjang sedekad lalu.

Selepas penstrukturan semula, JLR dijangka memberi tumpuan kepada model import berprestij seperti Range Rover, Defender dan Discovery.

Langkah itu juga dijangka mengecilkan lagi rangkaian pengedar yang kini dianggarkan kurang daripada 90 cawangan kepada sekitar 40 hingga 50 sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, kilang JLR di Changshu tidak akan dibiarkan kosong. Menerusi kerjasama antara Chery dan Jaguar Land Rover yang dimeterai pada 2024, jenama Freelander dihidupkan semula sebagai jenama EV baharu.

Jenama itu bakal memanfaatkan teknologi serta rantaian bekalan dari China, termasuk sistem pemanduan pintar Huawei, manakala model sulungnya dijadualkan membuat kemunculan di pasaran China pada separuh kedua tahun 2026.

Google ads
Back to top button