TOYOTA HIACE 2024 UNTUK JEPUN, WELCAB DAN AMBULANCE HIMEDIC TURUT DINAIK TARAF
Toyota Hiace generasi kelima masih ditawarkan di beberapa pasaran meskipun model baharu dilancarkan pada 2019.
Hiace generasi kelima sudah berada di pasaran sejak Ogos 2004 dan pasaran tempatan di antara negara yang masih menawarkannya.
Penawaran van tersebut nampaknya kekal relevan selepas Toyota baru sahaja memperkenal model naik taraf untuk pasaran Jepun.
Dari segi reka bentuk, Hiace masih kekal seperti Hiace, tiada muka depan yu kepala tukul seperti model terbaru lain.
Cumanya Toyota menawarkan Earth Color Package untuk Super GL dengan warna istimewa seperti kuning air dan jeriji depan hitam kusam. Rim juga nampak bergaya.
Untuk Hiace Welcab, Toyota melengkapinya dengan cagak baharu dan beroperasi melalui hanya satu sentuhan butang. Kerja-kerja pemasangan kerusi roda lebih cekap dan pantas.
Sebagai langkah keselamatan, buzzer mengeluarkan bunyi bagi mencegah pemandu atau pembantu terlupa untuk memastikan kerusi roda dalam keadaan sepatutnya.
Bagi Hiace Ambulance ‘Himedic’, sistem ITS Connect atau Intelligent Transportation System berfungsi dengan memaklumkan kenderaan berdekatan dengan sistem yang sama tentang kehadirannya.
Pemakluman itu dapat memendekkan perjalanan ketika kecemasan dan mengurangkan risiko kemalangan.
Secara asasnya, Hiace dibahagikan kepada tiga model utama iaitu Van, Wagon dan Commuter.
Enjin juga ada tiga jenis seperti 2.8 liter 1GD-FTV diesel turbo, 2.7 liter 2TR-FE dan 2.0 liter 1TR-FE petrol dengan pacuan dua atau empat roda.
Harga Toyota Hiace 2024 mengikut varian:
Hiace
- Van: 2,439,500 yen – 4,200,600 yen (RM77,922 – RM134,176)
- Wagon: 2,946,600 yen – 4,050,200 yen (RM94,120 – RM129,387)
- Commuter: 3,353,600 yen – 3,851,600 yen (RM107,133 – RM123,042)
Hiace Welcab
- BU: 3,971,000 yen – 4,926,000 yen (RM126,857 – RM157,366)
- FU: 4,030,000 yen – 4,985,000 yen (RM128,755 – RM159,266)
Ambulance
- 5,764,000 yen – 12,017,000 yen (RM184,155 – RM383,920)