
TOYOTA VELLFIRE 2.5 HEV DILANCARKAN, HARGA BERMULA RM549K
UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini memperkenalkan Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge, sekali gus mengangkat model MPV mewah ini sebagai flagship terbaharu jenama itu di Malaysia.
Pelancaran ini menandakan satu langkah penting dalam hala tuju elektrifikasi Toyota, dengan Vellfire HEV menggabungkan prestasi tinggi, kecekapan bahan api serta tahap keselesaan premium.
Vellfire HEV dikuasakan oleh sistem hibrid Dynamic Force 2.5 liter yang menggabungkan enjin petrol empat silinder A25A-FXS bersama motor elektrik beroutput tinggi.
Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 250PS – peningkatan sekitar 37 peratus berbanding varian 2.5 liter konvensional.
Dari sudut kecekapan, MPV ini merekodkan penggunaan bahan api serendah 5.7 liter bagi setiap 100 km, dengan pelepasan karbon dioksida dikurangkan kepada 129 g/km.
Sistem Hybrid Electric Vehicle (HEV) yang digunakan adalah jenis pengecasan kendiri, di mana bateri akan dicas secara automatik ketika membrek dan memandu. Turut disediakan mod EV yang membolehkan pemanduan jarak dekat secara senyap dan tanpa pelepasan emisi.
Reka bentuk dalaman Vellfire HEV menekankan konsep omotenashi, iaitu falsafah layanan dan keselesaan Jepun yang mengutamakan keperluan penumpang secara menyeluruh.
Tempat duduk Executive Lounge VIP hadir dengan pelarasan elektrik penuh, sistem pengudaraan, sokongan kaki jenis ottoman serta fungsi urutan, semuanya dikawal melalui panel operasi pelbagai fungsi.
Keselesaan dipertingkat dengan struktur tempat duduk anti-getaran, perehat tangan lebih besar, meja boleh putar dan cermin solek terbina dalam.
Kabin disaluti kulit Nappa berkualiti tinggi, kemasan sentuhan lembut serta pencahayaan ambien bumbung dengan 64 pilihan warna. Tema dalaman eksklusif “Sunset Brown” ditawarkan khas untuk varian ini, menambahkan aura eksklusif dan elegan.
Sistem audio JBL 15 pembesar suara dipadankan dengan skrin hiburan bumbung bersaiz 14-inci untuk penumpang belakang. Ciri sambungan pintar turut disediakan termasuk fungsi menghidupkan enjin dari jarak jauh melalui Sistem Telematik Kenderaan (VTS) menggunakan aplikasi mudah alih.
Vellfire HEV dibina di atas platform TNGA GA-K yang menawarkan tahap ketegaran badan lebih tinggi, kestabilan pemanduan lebih yakin serta tahap kesenyapan dan keselesaan yang dipertingkat.
Aspek keselamatan diperkukuh dengan pakej Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi:
- Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
- Amaran Keluar Lorong (LDA)
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan Lane Tracing Assist
- Lampu Tinggi Adaptif (AHS)
- Pemantau Titik Buta (BSM)
- Amaran Lintas Trafik Belakang (RCTA)
- Brek Sokongan Parkir (PKSB)
Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge ditawarkan dalam tiga warna luaran:
- Platinum White Pearl
- Precious Metal
- Black
Pilihan dalaman pula merangkumi warna Hitam atau Sunset Brown eksklusif.
Harga bagi model baharu Vellfire adalah seperti berikut:
- Vellfire 2.5 – RM448,000
- Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge – RM549,900
- Pilihan: Sambungan waranti hibrid selama 2 tahun – RM4,500
Varian hibrid ini dijual dengan harga hampir setanding dengan Alphard turbo, yang bermula daripada RM 548,000, memberikan alternatif mewah dengan teknologi elektrik-hibrid terkini.
Setiap unit didatangkan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, serta jaminan ketersediaan alat ganti selama 10 tahun. Sokongan selepas jualan disokong oleh 98 pusat servis sah Toyota dan 47 pusat badan dan cat di seluruh negara.
Model ini boleh dilihat secara dekat di semua bilik pameran Toyota yang sah di seluruh Malaysia.

