Buletin

TUDM TERIMA 3 HELIKOPTER LEONARDO AW139 GANTI NURI

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima sebanyak tiga daripada empat buah helikopter model Leonardo AW139 yang menggantikan Sikorsky S-61 atau Nuri.

Sebuah lagi helikopter terbabit dijadual diterima pada bulan Mei ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pengoperasian keempat-empat helikopter yang diperoleh menerusi kaedah sewaan berkonsepkan ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM) itu akan dikendalikan oleh Skuadron No.3.

Menurut Hishammuddin, selain menampung penugasan helikopter Nuri yang telah tamat operasi, sewaan itu juga bertujuan memastikan tempoh penerbangan, kos operasi dan penyelenggaraanhelikopter EC725AP lebih efektif.

Pada masa sama katanya, kaedah sewaan berkonsepkan GOCOM itu diharap dapat mengekalkan kompetensi anak kapal helikopter Nuri ketika ini.

“Helikopter AW 139 ini dipilih kerana kemampuannya untuk melaksanakan operasi yang memberikan kepentingan taktikal, operasional dan strategik kepada TUDM serta ATM (Angkatan Tentera Malaysia). 

“Ia juga berkeupayaan untuk melaksanakan peranan dan tugas ‘utility fleet‘ helikopter TUDM serta mampu beroperasi pada waktu siang dan malam,” katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerja ke Pangkalan TUDM Butterworth.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Jelas Hishammuddin, selain AW139, aset ATM lain yang mengguna pakai kaedah GOCOM ialah helikopter latihan Airbus EC120B dan ‘Flight Simulation Training Device’ (FSTD) Untuk Kegunaan Kursus Asas Juruterbang Helikopter TUDM selain Bot Op Pasir.

“Kerajaan memilih mengguna pakai kaedah GOCOM ini kerana merupakan pendekatan luar kotak yang amat diperlukan terutama ketika tumpuan kewangan kerajaan ketika ini terarah kepada usaha pemulihan negara di era pandemik. 

“Dengan kaedah ini juga, tempoh masa untuk melaksanakan proses perolehan termasuk berkaitan tender serta pembinaan aset dapat dikurangkan,” katanya. – UTUSAN/ FB TUDM

Google ads
Back to top button