Buletin

53 PELAJAR UPNM DARI SABAH, SARAWAK BALIK RAYA NAIK PESAWAT TUDM

Seramai 53 orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari Sabah dan Sarawak merasai pengalaman ‘luar biasa’ apabila pulang menaiki pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan.

Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pihak universiti mengambil inisiatif bagi menguruskan pergerakan pelajar pulang ke Sabah dan Sarawak sempena cuti perayaan Aidilfitri dengan memohon bantuan pesawat pengangkut itu pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Katanya, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad turut berterima kasih dan menghargai bantuan ikhlas yang diberikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan TUDM atas bantuan penerbangan ihsan itu.

“Terima kasih tidak terhingga atas keprihatinan pihak universiti dan TUDM yang mengatur penerbangan ihsan untuk pergerakan pulang menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar menerusi perkongsian videonya @grlcloud, melahirkan rasa keterujaannya apabila pulang beraya menaiki pesawat pengangkut berkenaan.

Dia turut mengucapkan penghargaannya kepada Mohd Asghar dan TUDM atas bantuan penerbangan ihsan berkenaan.

“Terima kasih TUDM hantar kami pulang beraya!!,” katanya menerusi di dalam TikToknya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button