Buletin

UNIT PROTOTAIP LANCER EVO VI UNTUK DIJUAL – 1 DARIPADA 7 UNIT DALAM DUNIA!

Sebelum Mitsubishi memulakan produksi sebenar Lancer Evolution VI, pengeluar tersebut sebenarnya telah pun membina sehingga tujuh unit prototaip pada awal tahun 1999.

Kesemua tujuh unit tersebut dikhususkan untuk kegunaan media permotoran di Jepun, dan tidak pernah didaftarkan secara rasmi untuk kegunaan atas jalan raya.

Pada ketika itu pihak berkuasa Jepun memberikan Mitsubishi tempoh dua minggu untuk pengujian dengan satu syarat – tidak menjualnya kepada umum.

Daripada tujuh unit prototaip tersebut, empat daripadanya dipulangkan semula kepada Ralliart untuk dijadikan jentera lumba rali, satu daripadanya telah dicuri manakala selebihnya dijual kepada ‘rakan Mitsubishi Ralliart’.

Disebabkan oleh status yang tidak didaftarkan, dua unit yang dijual itu tadi perlu dieksport keluar dari Jepun dengan segera, dan salah satu daripadanya merupakan unit yang dipamerkan dalam artikel ini.

Bermula dengan jarak perbatuan sekitar 3,541 km pada tahun 1999, pemilik asal unit prototaip Evo VI ini dilihat memandu jentera ini dengan jarak perbatuan kini mencecah 84,000 batu (135,185 km).

Unit prototaip Lancer Evo VI ini disenaraikan dalam laman CarAndClassic untuk dijual, di mana acara bidaan hanya akan bermula pada Isnin ini.

Menurut laman web tersebut, satu masalah besar yang wujud hanyalah isu karat yang bukan sahaja didapati pada bahagian belakang casis, malah ia juga turut terdapat pada bahagian lantai dan juga panel depan.

Namun begitu, pihak penjual turut menyertakan sekali panel OEM bagi memudahkan urusan restorasi dijalankan oleh pihak yang berjaya mendapatkan model terhad ini. – CarAndClassic

Google ads
Back to top button