
MITSUBISHI PAJERO SERBA BAHARU DIJANGKA DEBUT 2 SEPTEMBER
Mitsubishi dijangka bakal menghidupkan semula nama legenda Pajero menerusi model generasi baharu yang dilaporkan akan membuat kemunculan rasmi pada 2 September.
Jika laporan itu tepat, ia bakal menjadi antara pelancaran paling penting buat pengeluar Jepun tersebut dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut laporan media automotif Jepun, BestCar, pelancaran itu tidak hanya tertumpu kepada pasaran Jepun, sebaliknya dijangka dilakukan secara serentak di beberapa negara bagi memberi impak lebih besar kepada model ikonik berkenaan. Jualan pula dijangka bermula tidak lama selepas majlis pelancarannya.
Di Jepun, harga Pajero baharu itu dikatakan berada dalam lingkungan 5 juta hingga 7 juta yen (sekitar RM137,000 hingga RM192,000), namun Mitsubishi masih belum mengesahkan harga rasmi.

Dari segi reka bentuk, beberapa imej prototaip yang dirakam ketika sesi ujian menunjukkan Pajero baharu bakal menampilkan gaya lebih moden dengan bentuk badan berkotak, sekali gus mengingatkan kepada Lexus GX.
Walaupun begitu, model ini dijangka diposisikan sebagai SUV lasak yang mampu bersaing dengan Toyota Land Cruiser dan Nissan Patrol, bukannya sebuah SUV mewah.
Aspek paling menarik ialah penggunaan casis ladder-frame yang dibangunkan daripada platform Mitsubishi Triton.
Bagaimanapun, casis tersebut dijangka menerima beberapa penambahbaikan termasuk talaan suspensi yang berbeza bagi memenuhi karakter sebuah SUV bersaiz penuh.
Bagi pilihan enjin, Pajero dijangka menggunakan enjin diesel 2.4 liter empat silinder twin-turbo yang sama seperti Triton. Enjin itu menghasilkan kuasa sekitar 201hp dan 470Nm tork, dipadankan dengan sistem pacuan empat roda untuk keupayaan pemanduan lasak.
Dalam masa sama, Mitsubishi dipercayai sedang membangunkan versi elektrifikasi bagi Pajero. Laporan sebelum ini menyebut syarikat itu mahu menjadikan kilangnya di Thailand sebagai hab pengeluaran dan eksport global untuk model elektrifikasi, termasuk Pajero dan Triton.
Walaupun spesifikasi rasmi masih belum didedahkan, versi hibrid plug-in (PHEV) berkemungkinan menggunakan teknologi yang sama seperti Outlander PHEV.
Sistem itu menggabungkan enjin petrol 2.4 liter bersama dua motor elektrik serta pek bateri litium-ion, menghasilkan kuasa gabungan sekitar 248hp dan 450Nm tork.
Sekiranya semua maklumat ini menjadi kenyataan, Pajero generasi baharu bukan sahaja bakal mengembalikan nama yang cukup terkenal dalam segmen SUV lasak, malah menandakan hala tuju baharu Mitsubishi ke arah teknologi elektrifikasi tanpa mengorbankan keupayaan off-road yang menjadi identiti model tersebut.
- BACA: MORBIDELLI T250 TIBA DI PENGEDAR – RM7,988
- BACA: AS MAHU SEKAT MERCEDES-BENZ? RANG UNDANG-UNDANG BAHARU CETUS KONTROVERSI
- BACA: LLM SASAR TAMBAH 18 TEMPAT TEDUHAN MOTOSIKAL DI LEBUH RAYA TAHUN INI
- BACA: SUZUKI BREZZA FACELIFT DILANCARKAN DI INDIA – ENJIN TURBO BAHARU, JANA 109HP, HARGA MULA RM31K








