Buletin

VAN VW KEPALA SAMA, BADAN BOLEH JADI MACAM-MACAM

Salah satu kegilaan atau trend modifikasi hari ini ialah van Toyota Hiace. Memang seronok dan ranggi. Tetapi modifikasi kenderaan komersil di negara kita sebenarnya masih lagi rendah.

Di luar sana lebih banyak modifikasi gila-gila yang dibuat terutama sekali di Jepun.

Bagaimana pula di Eropah? Di sana undang-undang ketat bukan main tetapi satu perkara menarik ialah bagaimana pengeluar OEM begitu kreatif dalam memanfaatkan produk yang mereka jual.

Jika di negara kita, jenama Eropah seperti Volkswagen dan Mercedes-Benz berada di aras sendiri tetapi model bisnes mereka di peringkat adalah pelbagai.

Volkswagen dan Mercedes-Benz masing-masing ada jabatan yang mengeluarkan kenderaan komersil ala Toyota Hiace dan Maxus.

Model yang dikeluarkan Volkswagen Commercial Vehicle pula disambut oleh pembina badan bebas untuk menghasilkannya dalam pelbagai rupa.

Contohnya SKS Coachbuilders yang membina badan bas menaiktaraf van komersil kepada perpustakaan bergerak.

Di Pameran Kenderaan Antarabangsa Jerman (IAA) 2018 pembuat badan bebas ini akan menampilkan pelbagai hasil kerja mereka berdasarkan model keluaran Volkswagen Commercial Vehicle.

Bukan satu tetapi lebih daripada 50 jenis naiktaraf boleh dilakukan untuk van komersil ini. Senang kata, satu kepala tetapi ekor lain-lain atau kepala Hiace belakangnya adalah macam-macam.

Berikut ialah tujuh jenis bagaimana van komersil VW boleh diubahsuai (Jika nak tunjuk 50 nanti banyak sangat pula):

1. Volkswagen Transporter with K70 cassette lift

Ini ibarat Toyota Vellfire atau Alphard Wellcab. Perodua Kenari pun ada juga pada satu ketika dahulu. Modifikasi begini begitu banyak di Jepun dan ditawarkan sebagai opsyen pembelian oleh OEM. Jadi tidak hairan apabila ada Perodua Myvi yang mempunyai set wellcab ini.

Naiktaraf untuk VW Transporter ini ditawarkan oleh AMF-Bruns dengan nama K70 Cassette Lift. Ia boleh menampung berat sehingga 300 kg dan suatu yang menarik apabila kawalannya boleh dibuat melalui sambungan Bluetooth atau aplikasi telefon pintar.

2. Volkswagen Transporter Tipper

Ini suatu yang menarik. Bayangkan Hiace atau Daihatsu GranMax jadi lori pasir seperti ini. Comel betul. Badan belakang dibuat daripada aluminium dan ia berjaya mengurangkan berat badan van ini kepada 100 kg.

3. Volkswagen Crafter 50 Minibus

Mereka yang membesar pada era 80an dan 90an pasti ingat tentang Bas Mini Wilayah (BMW) atau Bas SKMK. Bas mini yang dibina oleh ALTAS ini boleh memuatkan sehingga 22 orang dan juga akses untuk pengguna kerusi roda.

Konsep bas mini seperti ini sangat sesuai di dalam trafik bandar atau di dalam kampus pendidikan. Hendak buat bas percuma ala GOKL dan bas Selangorku serta Melaka pun boleh.

4. Volkswagen Crafter 50 Transporter

Transporter untuk membawa kenderaan di belakang ini dibina oleh Eder Group melalui model yang dipanggil Algema / Fit-Zel. Transporter ini dibina daripada model VW Crafter dual cab dengan pelantar belakang daripada bahan aluminium atau besi komposit berkualiti tinggi.

Pelantar tersebut boleh menampung berat sekitar 1.8 tan sehingga 2.5 tan.

5. Volkswagen Transporter Rockton

Van ini dibina oleh Plastipol Scheu untuk kegunaan pengukur tanah (surveyor) yang dipanggil sebagai Geo-Van 2.0. Keistimewaan van ini ialah jarak kelegaan bumi yang tinggi dan pelbagai rak dan ruang simpanan.

Rak dan ruang simpanan tersebut boleh digunakan untyk menyimpan peralatan ukur tanah manakala bahagian belakang kerusi pemandu pula memberikan tempat untuk lukisan pelan.

6. Volkswagen Crafter Emergency Vehicle

Ambulans ini dibina oleh Wietmarscher Ambulanz- und Sonderfahrzeug GmbH dan dipanggil sebagai RTW. Ambulans ini mempunyai beberapa kelebihan seperti ruang penglihatan sisi dan depan lebih baik dan bahagian dalaman yang menarik.

Di antaranya ialah operasi penguncian pintu yang senyap, sistem nyah infeksi berintegrasi dan pemeriksaan keselamatan peralatan dengan RFID.

7. Volkswagen Transporter Escort Vehicle

Model ini dibina oleh Volkswagen Commercial Vehicles dengan kerjasama Schumotec. Model ini sesuai digunakan oleh pengendali atau pasukan keselamatan lebuh raya.

Van ini dilengkapi dengan pelbagai isyarat keselamatan untuk paparan di depan dan sisi supaya jelas dilihat oleh pengguna lebuh raya. Paparan isyarat pula mempunyai 11 jenis tanda berbeza.

Van ini bukan sahaja sesuai digunakan untuk lebuh raya tetapi juag sebagai pengiring untuk kenderaan besar dan berat.

BACA: PANDU UJI: VW GOLF R-LINE – CUKUPKAH UNTUK ANDA LUPAKAN GTI?

BACA: VW BAKAL KELUARKAN CAMPER VAN! BOLEH NAK PUSING DUNIA!

Google ads
Back to top button