
VOLKSWAGEN DAN AUDI BERI AMARAN PEMILIK ID.4 DAN Q4 E-TRON, JANGAN CAS LEBIH 80 PERATUS
Volkswagen dan Audi mengeluarkan amaran keselamatan kepada pemilik kenderaan elektrik (EV) masing-masing susulan kebimbangan terhadap risiko kebakaran bateri voltan tinggi sekiranya pengecasan dilakukan melebihi paras 80 peratus.
Amaran itu melibatkan model Volkswagen ID.4 dan Audi Q4 E-Tron keluaran tahun 2024 hingga 2025, selain beberapa unit ID.4 yang lebih baharu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kedua-dua pengeluar mengesyorkan pemilik mengehadkan tahap pengecasan bateri kepada maksimum 80 peratus sehingga penyelesaian rasmi disediakan.
Menurut laporan penarikan balik yang dikemukakan kepada Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA), pengecasan melebihi paras tersebut berpotensi mencetuskan fenomena thermal propagation dalam pek bateri voltan tinggi.
Keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan suhu secara tidak terkawal dan seterusnya meningkatkan risiko kebakaran.
Secara keseluruhan, penarikan balik itu melibatkan 22,524 unit Volkswagen ID.4 bagi tahun model 2023 hingga 2026.
Bagi Audi pula, sebanyak 2,008 unit Q4 Sportback E-Tron dan 7,040 unit Q4 E-Tron keluaran 2024 hingga 2025 terlibat.
Walaupun punca sebenar kecacatan bateri masih belum dikenal pasti, Volkswagen dan Audi menganggarkan hanya sekitar 0.1 peratus daripada keseluruhan kenderaan terlibat berkemungkinan mempunyai masalah berkenaan.
Volkswagen dilaporkan telah menghantar kemas kini perisian secara over-the-air (OTA) kepada semua ID.4 yang terjejas bagi mengehadkan pengecasan bateri kepada 80 peratus.
Pemilik diberikan tempoh kira-kira seminggu untuk memilih sama ada mahu menerima atau menolak sekatan pengecasan tersebut.
Bagaimanapun, pendekatan Audi berbeza apabila pemilik Q4 E-Tron setakat ini hanya diberikan amaran supaya tidak mengecas bateri melebihi had berkenaan.
Audi turut memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima laporan kebakaran Q4 E-Tron yang disahkan berpunca daripada isu sama.
Volkswagen pula merekodkan sebanyak 22 laporan berkaitan insiden yang dikaitkan dengan isu penarikan balik itu bagi tempoh Januari 2024 hingga Ogos 2026.
Buat masa ini, kedua-dua pengeluar masih belum menyediakan penyelesaian pembaikan secara rasmi.
Sebagai langkah tambahan, Volkswagen akan menghantar pelekat peringatan kepada pemilik ID.4 supaya had pengecasan 80 peratus dipatuhi.
Pemilik ID.4 dijangka menerima notis penarikan balik selewat-lewatnya pada 27 November, manakala pemilik Audi Q4 E-Tron dijangka menerima makluman menjelang 18 Disember.









