Pandu Uji

VW TAYRON 1.5 ELEGANCE BAGUS, TAPI KENA TELAN HARGA RM 190K

Nama Tayron sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu dalam keluarga Volkswagen. Model ini mula diperkenalkan pada 2018 melalui usahasama FAW-Volkswagen di China, dan namanya sendiri sering dikaitkan dengan gabungan perkataan “Tiger” dan “Iron”.

Namun untuk pasaran global yang lebih luas, Tayron kini hadir sebagai sebuah SUV keluarga bersaiz besar yang cuba mengisi ruang di antara Tiguan dan model Touareg yang lebih besar. Dari segi reka bentuk, Tayron membawa pendekatan Volkswagen yang cukup jelas melalui rekaan yang bersih, kemas, tegap dan tidak terlalu bereksperimen.

Ia menggunakan bahasa reka bentuk SUV Volkswagen yang konservatif, dengan bentuk badan yang nampak matang dan nisbah yang agak seimbang. Kalau dibandingkan dengan sesetengah pesaing yang cuba tampil lebih agresif atau futuristik, Tayron mungkin kelihatan sedikit selamat dan kurang mempunyai faktor wow.

Namun kelebihan pada pendekatan begini ialah reka bentuknya berpotensi untuk kelihatan relevan dalam tempoh masa yang lebih lama tanpa terlalu terikat dengan trend semasa. Dengan lebar 1,853 mm dan panjang sekitar 4.8 meter, Tayron memang sebuah SUV yang besar.

Di bahagian hadapan, Volkswagen memberikan logo VW bercahaya yang diintegrasikan dengan sistem lampu utama LED Plus. Lampu hadapan ini turut menawarkan fungsi seperti auto high beam, cornering light, pelarasan ketinggian lampu automatik dan mod pencahayaan untuk keadaan cuaca buruk.

Gril radiator tiga dimensi pula memberikan sedikit elemen visual tambahan dengan ciri LED Light Bar supaya bahagian hadapan tidak kelihatan terlalu kosong. Di bahagian sisi pula, rim 18 inci “Napoli” dipadankan dengan tayar Hankook dan sistem suspensi DCC Pro yang berupaya mengubah pelarasan kekerasan penyerap hentak mengikut mod pemanduan.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu LED dengan rekaan tiga dimensi, LED Light bar dan logo VW bercahaya serta elemen air curtain pada bampar bawah. Pintu ruang kargo berkuasa turut menjadi kelengkapan standard yang memudahkan penggunaan harian.

Salah satu kelebihan terbesar Tayron ialah ciri praktikaliti dimana Tayron menawarkan ruang bagasi sekitar 345 liter apabila semua tempat duduk digunakan, meningkat kepada 850 liter (5 tempat duduk) dan boleh mencapai sehingga 1,905 liter apabila semua tempat duduk dilipat.

Terdapat juga soket kuasa dan beberapa ruang penyimpanan tambahan, termasuk penyangkut yang nampak kecil tetapi sebenarnya berguna untuk kegunaan harian. Tonneu cover pula disimpan di dalam ruang kargo bersama-sama dengan tayar kecemasan

Untuk trenkuasa, Tayron menggunakan enjin petrol 1.5 liter empat silinder dengan kitaran Miller. Volkswagen menggunakan nisbah mampatan tinggi 12:1 bagi membantu meningkatkan kecekapan thermal. Sistem valve timing pula digunakan untuk menutup injap lebih awal, mengambil pendekatan yang hampir kepada kitaran Atkinson bagi mengurangkan penggunaan bahan api.

Kekurangannya ialah karakter seperti ini biasanya mengorbankan sedikit tork pada kelajuan rendah. Untuk mengatasi perkara tersebut, enjin ini dilengkapi pengecas turbo VGT yang menghasilkan sekitar 150 PS dan 250 Nm.

Volkswagen turut memberikan 2 ciri tambahan pada enjin ini iaitu ACT dan Mild Hybrid. Sistem ACT atau Active Cylinder Management boleh mematikan dua daripada empat silinder ketika kereta bergerak dalam keadaan beban rendah, contohnya ketika memandu di jalan rata pada gear tinggi dan RPM rendah.

Ini membolehkan enjin beroperasi dengan lebih cekap tanpa perlu menggunakan kesemua silinder sepanjang masa. Sistem mild-hybrid 48 volt pula menambah satu lagi lapisan kepada usaha Volkswagen mengejar kecekapan bahan api.

Ketika kereta melakukan coasting dan pemandu melepaskan pedal minyak, enjin boleh dimatikan terus manakala sistem elektrik kenderaan disokong oleh bateri 48V. Apabila membrek, sistem pula menggunakan proses regenerative braking untuk mengecas bateri 48 volt.

Memasuki ke ruangan kabin, penulis perasan yang Tayron menunjukkan peningkatan yang cukup ketara berbanding beberapa model Volkswagen generasi terdahulu. Volkswagen nampaknya benar-benar belajar daripada kritikan terhadap penggunaan terlalu banyak panel berkilat dan kawalan sentuhan pada model-model sebelum ini.

Kabin Tayron menggunakan lebih banyak permukaan kulit lembut, pencahayaan LED dan kemasan balutan kulit dengan jahitan putih yang menjadikan suasananya rasa lebih premium. Malah dari segi penampilan keseluruhan, kabin Tayron boleh dikatakan lebih premium berbanding apa yang pernah ditawarkan pada model lama seperti Arteon.

Sistem infotainmen menggunakan skrin 12.9 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sementara pemandu mendapat paparan Digital Cockpit 10.25 inci lengkap dengan ciri navigasi terbina dalam.

Turut disediakan ialah sistem pendingin hawa tiga zon, dua pengecas tanpa wayar 15W, dua port USB-C serta sistem arahan suara IDA. Navigasi dengan peta Malaysia juga tersedia, sesuatu yang sememangnya penting untuk kegunaan tempatan dan penulis mendapati peta ini berupaya menunjukkan kawasan tempatan dengan baik

Satu perkara yang menarik ialah pendekatan Volkswagen terhadap butang kawalan dalam kabin. Skrin infotainmen masih dikekalkan namun ciri taskbar yang sentiasa kelihatan di bahagian atas dan bawah skrin, menjadikannya lebih mudah untuk pemandu mengakses fungsi utama.

Kawalan pendingin hawa juga masih boleh dicapai dengan mudah walaupun ada pada skrin, manakala butang suara turut disediakan secara fizikal yang juga bertindak sebagai butang menukar mode pemanduan dan warna cahaya LED.

Terdapat sehingga 30 pilihan pencahayaan ambient, dengan reka bentuk lampu kabin dua lapisan yang memberikan sedikit karakter kepada ruang dalaman.

Dari segi praktikaliti, kabin Tayron direka dengan baik untuk kegunaan keluarga. Sebagai contoh perehat tangan depan mempunyai ruang simpanan, poket pintu besar boleh memuatkan botol besar , selain pelbagai ruang kecil untuk menyimpan barang.

Tempat duduk hadapan pula menawarkan fungsi pelarasan berkuasa elektrik, pengudaraan, 3 tetapan yang boleh disimpan dan ciri urutan, menjadikan Tayron lebih sesuai untuk perjalanan jauh. Namun begitu, apabila bergerak ke barisan kedua, ada beberapa kompromi yang mula kelihatan.

Penumpang belakang mendapat sistem pendingin hawa tiga zon dengan saluran udara sendiri, perehat tanga tengah dengan pemegang cawan boleh laras serta tirai. Tetapi ruang kaki bukanlah yang paling luas untuk sebuah SUV sebesar ini.

Bonggol di lantai turut mengambil sedikit ruang dan akses ke bahagian belakang juga agak terhad. Tapi paling mengecewakan ialah sudut sandaran kusyen yang terasa agak menegak, mungkin sama dengan Bezza. Berbeza dengan SUV atau MPV lain, ia tidak boleh disandarkan lebih ke belakang.

Barisan ketiga pula lebih jelas menunjukkan bahawa Tayron masih mempunyai kompromi sebagai sebuah SUV tiga baris dan lebih kepada SUV 5+2. Sudut sandaran kusyen agak tegak, ruang kaki sangat terhad dan tiada saluran pendingin hawa khusus di barisan ketiga.

Jika dibandingkan dengan Hyundai Santa Fe, Mazda CX-80 atau Volvo XC-90, ruang ketiga Tayron terasa kurang selesa. Secara ringkas, barisan ketiga lebih sesuai untuk kanak-kanak atau perjalanan pendek berbanding orang dewasa untuk perjalanan jauh.

Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, Tayron menawarkan pakej yang lengkap. Antaranya ialah Park Assist, sistem yang mengetatkan tali pinggang keselamatan secara automatik ketika mengesan situasi tertentu serta Emergency Lane Assist yang boleh membantu memperlahankan atau memberhentikan kenderaan sekiranya sistem mengesan pemandu mungkin tidak lagi mampu mengawal kereta.

Pakej ADAS IQ.DRIVE pula merangkumi TPMS, Auto High Beam, sistem bantuan parkir, Rear Cross Traffic Alert, Safe Exit Warning, Autonomous Emergency Braking yang mampu mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal serta Adaptive Cruise Control.

Cuma satu persoalan yang timbul ialah mengapa kamera 360 darjah tidak ditawarkan, terutama pada sebuah SUV besar dan panjang seperti Tayron. Untuk kereta dengan dimensi sebegini, kamera 360 sebenarnya memudahkan proses parkir di ruang yang sempit.

Apabila mula dipandu, berat sekitar 1,830 kg memang dapat dirasakan. Di dalam bandar, enjin 1.5 liter itu kadang-kadang terasa seperti perlu bekerja agak kuat untuk menggerakkan badan Tayron yang besar.

Walaupun sistem mild-hybrid membantu memberikan tambahan tork 56Nm dan 19 PS ketika RPM rendah dan mengisi jurang kuasa ketika enjin belum menghasilkan kuasa optimum, karakter keseluruhannya masih terasa sedikit berat ketika digunakan dalam trafik bandar.

Tetapi karekter Tayron berubah apabila dibawa ke lebuh raya. Pada kelajuan tinggi, enjin dan sistem hibrid ringannya terasa lebih sesuai dengan kereta ini. Dalam keadaan pemanduan sekitar 110-120km/j, penggunaan bahan api boleh menghampiri sekitar 20 km/l.

Dengan kapasiti tangki 58liter, jarak perjalanan sekitar 800 km bagi satu tangki bukanlah sesuatu yang mustahil dalam keadaan pemanduan ekonomik. Mod Eco, Comfort, Sport dan Individual turut membolehkan karakter kereta diubah mengikut keadaan dan citarasa pemandu.

Namun ada satu perkara yang agak mengganggu penulis ketika menggunakan sistem stop-start dan coasting dari sistem mild hybrid. Apabila enjin dimatikan, prestasi pendingin hawa terasa menurun dengan hanya kipas sahaja dihidupkan.

Untuk negara panas seperti Malaysia, ini merupakan perkara yang lebih penting daripada sekadar angka penggunaan bahan api. Ia membuatkan timbul persoalan sama ada sistem pemampat pendingin hawa di sini masih bergantung kepada sistem yang digerakkan oleh tali sawat enjin dan bukannya pemampat elektrik sepenuhnya.

Pecutan 0 hingga 100 km/j pula berada sekitar 9 hingga 10 saat. Angka ini bukanlah sesuatu yang pantas, tetapi masih munasabah untuk sebuah SUV keluarga dengan berat hampir dua tan. Fokus Tayron jelas lebih kepada keseimbangan antara kecekapan, keselesaan dan kegunaan harian berbanding prestasi.

Brek pula memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan kerana kedudukan pedal brek agak rapat dengan pedal minyak, manakala initial bite tidak terasa terlalu kuat. Ia mengingatkan penulis kepada karakter berek pada sesetengah model Mazda, di mana pedal brek pada awalnya terasa sedikit lembut sebelum kuasa membrek meningkat.

Tetapi kelebihannya ialah brek mudah dimodulasikan dan pemandu boleh mengawal tekanan dengan tepat. Ketika membrek kuat, badan kereta juga tidak menunjukkan nose dive yang berlebihan. Jarak membrek sekitar 35 meter dari 100 hingga 0 km/j menunjukkan sistem breknya masih mampu memberikan prestasi yang baik.

Stereng Tayron pula mempunyai karakter yang agak tajam bagi sebuah SUV keluarga. Dengan kira-kira 1.3 pusingan sahaja untuk mendapatkan lock penuh, ia terasa pantas dan responsif berbanding apa yang mungkin dijangka daripada sebuah SUV keluarga.

Mod Sport turut menjadikan stering terasa sedikit berat ketika halaju tinggi. Antara perkara yang wajar dipuji ialah Volkswagen terus membuang butang kawalan jenis capacitive touch pada sesetengah roda stereng yang menyusahkan

Untuk suspensi, Tayron sebenarnya terasa agak keras berbanding sesetengah SUV Jepun dan Korea, walaupun menggunakan tetapan Comfort. Apabila masuk ke mod Sport, ia menjadi lebih keras dan di jalan kampung yang tidak rata, karakter tersebut lebih mudah dirasakan.

Namun kekerasan itu memberikan satu kelebihan dengan menawarkan kawalan badan kereta sangat baik. Olengan cesi ketika mengambil selekoh tidak terlalu banyak, menyebabkan Tayron terasa lebih stabil dan yakin apabila dipandu dengan lebih agresif.

Sistem keselamatan seperti Safe Exit Warning juga merupakan ciri yang sangat berguna dalam keadaan bandar. Lampu amaran pada perumah cermin sisi memberikan maklumat yang mudah dilihat menggunakan peripheral vision tanpa perlu mengalihkan pandangan terlalu jauh.

Tetapi sekali lagi, persoalan yang timbul ialah mengapa sistem ini tidak disertakan dengan amaran bunyi. Bagi sesetengah pemandu, gabungan visual dan bunyi mungkin lebih efektif untuk memberi amaran terhadap kenderaan yang menghampiri dari belakang.

Secara keseluruhan, Volkswagen Tayron bukanlah SUV yang cuba memenangi hati melalui reka bentuk yang terlalu dramatik atau angka prestasi yang luar biasa. Sebaliknya, ia cuba menjadi sebuah SUV keluarga yang matang, praktikal dan lebih lengkap.

Rekaan luarnya mungkin konservatif, tetapi itulah juga salah satu kekuatannya kerana ia berpotensi kelihatan relevan untuk tempoh yang lebih lama.

Enjin 1.5 liter Miller Cycle dengan turbo VGT, sistem ACT dan teknologi mild-hybrid 48 volt menunjukkan betapa banyak teknologi yang digunakan Volkswagen untuk mendapatkan kecekapan daripada enjin bersaiz kecil.

Kabin pula merupakan antara bahagian paling berjaya dengan Volkswagen berjaya menghasilkan ruang dalaman yang lebih premium, lebih mesra pengguna dan kurang bergantung kepada kawalan sentuhan berbanding beberapa model terdahulu.

Namun perkara yang membuatkan ramai bakal pembeli berfikir sejenak ialah harga Tayron, sekitar RM 190,000 menjadikan Tayron berada dalam julat yang di luar kemampuan ramai pembeli. Ingat ramai rakyat Malaysia suka membeli harga murah tapi mesti lengkap dengan ciri mewah

Tapi bagi penulis, kelebihan Volkswagen Tayron ialah pada aspek kehalusan kawalan kenderaan, suspensi, enjin dan talaan cesi yang menjadi kekuatan Volkswagen walaupun pembeli perlu menelan harga yang dipamerkan

Google ads
Back to top button