Buletin

VOLKSWAGEN MALAYSIA PERKENALKAN RIM EDISI TERHAD UNTUK GOLF GTI

Sempena meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik Golf GTI, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan penampilan baharu eksklusif untuk hot hatch popular itu menerusi rim khas Huntsville Adamantium Dark bagi pasaran tempatan.

Tawaran istimewa tersebut diberikan secara percuma kepada hanya 50 unit baharu Golf GTI, dengan harga jualan model itu kekal pada RM255,990, tertakluk kepada terma dan syarat.

Rim aloi bersaiz 18-inci itu tampil dengan kemasan gelap yang lebih garang, selain menggunakan rekaan lima jejari bersama corak jejari berbentuk Y yang menyerlahkan lagi angkup brek merah sinonim dengan identiti GTI.

Menurut Volkswagen Malaysia, sentuhan baharu itu bukan sahaja memberikan imej lebih sporty dan agresif, malah menjadi penghormatan kepada legasi GTI yang sudah menjangkau lima dekad dalam dunia automotif global.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1976 di Jerman, Golf GTI dikenali sebagai antara model hot hatch paling berpengaruh di dunia, menggabungkan prestasi, praktikaliti dan pengalaman pemanduan menyeronokkan dalam satu pakej.

Model berkenaan pada asalnya dibangunkan secara rahsia oleh sekumpulan kecil jurutera Volkswagen yang mahu menghasilkan versi Golf lebih berprestasi tinggi, sebelum akhirnya berkembang menjadi sebuah ikon dalam kalangan peminat automotif.

Kempen GTI 50 yang berlangsung di seluruh dunia tahun ini turut menjadi simbol sambutan terhadap perjalanan panjang model tersebut sejak kemunculan generasi pertama hampir 50 tahun lalu.

Di Malaysia, pelbagai aktiviti bertemakan GTI akan dianjurkan sepanjang tahun, termasuk pertandingan media sosial serta acara khas di rangkaian pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

Dalam masa sama, Volkswagen Malaysia turut menganjurkan kempen “Test Drive and Win” yang menawarkan peluang kepada pelanggan memenangi kad Touch ’n Go GTI edisi terhad apabila memandu uji mana-mana model Volkswagen.

Pelanggan yang berminat perlu melengkapkan sesi pandu uji sebelum 12 Julai 2026, manakala tempahan boleh dibuat menerusi laman rasmi Volkswagen Malaysia.

Google ads
Back to top button