Buletin

VOLKSWAGEN GOLF GTI 2024 DIPERKENAL, KUASA LEBIH TINGGI!

Tahun 2024 menandakan genap usia ke-50 Volkswagen Golf. Tahun yang istimewa tidak dibiarkan berlalu dan VW memperkenalkan Golf generasi kelapan yang dipertingkatkan (Mk8.5).

Dari segi usia, Golf Mk8 memasuki umur kelima tahun ini dan masih lagi kekal menarik. Golf terus dipertingkatkan dengan perubahan luar, dalam, teknologi dan rangkaian kuasa.

Buat penggemar model berprestasi, Golf GTI turut dipertingkatkan.

Dari depan, Golf GTI menyerlah dengan bampar sepit ketam yang mengingatkan kepada Golf R dan GTI Clubsport.

Lampu ditukar kepada rekaan lebih nipis dan turut meriah dengan sebaris lampu pada jeriji. Logo VW juga bernyala dan pertama dibuat untuk Golf (teringat kepada logo Proton Saga).

Selain lebih nipis, lampu Golf (bergantung pada varian) canggih dengan teknologi IQ.LIGHT LED matrix yang boleh menjangkau sehingga 500 meter.

Lampu belakang IQ.LIGHT 3D LED juga menerima rekaan baharu. Bahagian sisi tampil ringkas namun begitu menonjol dengan rim rongga bulat ala Alfa Romeo, Proton Gen.2 dan Suzuki Swift Sport.

VW bukan meniru tetapi menzahirkan kembali rim rongga bulat dan mudah jika dirujuk pada GTI Mk5.

Identiti GTI dijelaskan lagi dengan logo di bawah cermin sisi. Pada bahagian dalam, stereng dengan butang fizikal membuat kemunculan semula. 

Skrin baharu juga menonjol dengan saiz 10.4 inci (Ready 2 Discover) atau 12.9 inci (Discover) dan menggunakan sistem modular infotainment system generasi keempat (MIB4).

Golf juga canggih dengan penyepaduan sistem ChatGPT pada sistem bantuan suara IDA. Selain kawalan seperti penyaman udara, telefon dan navigasi, sistem itu mampu menjawab persoalan asas dari pemandu.

Satu lagi fungsi yang memudahkan pemandu ialah Park Assist Plus. Sistem itu mampu mengesan ruang parkir (melintang atau menegak) cukup besar atau tidak dan memulakan parkir secara automatik.

Sistem mengambil alih stereng, pendikit kelajuan dan brek dan pemandu hanya perlu mengawasi proses tersebut.

Sistem Park Assist Pro yang ditawarkan sebagai pilihan lebih canggih di mana pemandu boleh mengawal Golf untuk masuk dan keluar dari petak parkir melalui telefon pintar.

Berkenaan enjin, Golf GTI 2024 lebih bertenaga dengan penambahan 20 kuasa kuda (hp) kepada 261 hp.

Enjin itu dipadan bersama kotak gear cekam berkembar tujuh kelajuan dan harap maaf, tiada lagi kotak gear manual ditawarkan.

Google ads
Back to top button