
VOLKSWAGEN GOLF GTI 380, MODEL MANUAL TERAKHIR SEBELUM DIHENTIKAN!
Di dalam pasaran automotif dunia, Amerika Syarikat merupakan salah satu lubuk kereta dengan transmisi manual. Maklumlah, jumlah jualan setiap tahun mencecah belasan juta unit.
Bukan sahaja kereta kebanyakan, model berprestasi juga ditawarkan dalam transmisi manual. Cuma ada berita yang kurang enak dan gembira buat peminat Volkswagen Golf GTI.
Volkswagen of America menawarkan model edisi istimewa Golf GTI 380 2024 bagi meraikan warisan transmisi manual pada tahun akhir pengeluaran Golf GTI dan Golf R versi tiga pedal.
Hanya untuk pasaran Amerika Utara, nama 380 merujuk kepada kod dalaman Mk8.
Nama itu juga perakuan kepada model edisi istimewa GTI 337 (generasi keempat) 2002 yang meminjam kod dalaman GTI Mk1.
Pakej GTI 380 ditawarkan untuk versi manual Golf GTI S, SE dan Autobahn 2024.
Di antara kelengkapan asas ialah sistem redaman mudah suai DCC® dan rim 19 inci aluminium aloi hitam kilat dari Golf R 20th Anniversary Edition yang dipadan bersama tayar musim panas berprestasi.
Warna hitam kilat turut diguna pada bumbung, cermin sisi dan tampil menyerlah dengan riasan merah.
Pada bahagian dalam, warisan manual boleh dilihat pada tombol gear ala bola golf dan riasan sarang lebah pada papan pemuka.
Golf GTI S dan SE menggunakan kerusi dengan balutan klasik Scalepaper Plaid. Stereng kulit Vienna ciri asas untuk Golf GTI Autobahn dan pilihan untuk SE.
Sama seperti Golf GTI 2024 lain, GTI 380 digerakkan enjin 2.0 liter EA888 yang menghasilkan 241 kuasa kuda (hp) dan tork 370Nm.
Sejumlah warna ditawarkan untuk Golf GTI 2024 iaitu Deep Black Pearl, Atlantic Blue Metallic, Kings Red Metallic, Reflex Silver Metallic, Moonstone Gray dan Opal White Pearl.
Warna Graphite Gray Metallic pula eksklusif untuk the GTI 380. Model istimewa ini mula dijual pada awal musim luruh (September).
Selepas transmisi manual enam kelajuan, model Golf GTI dan Golf R seterusnya menggunakan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan DSG.
Di sebalik berita sedih, inilah peluang untuk peminat di Amerika Utara membeli dan menyimpan khazanah berharga!
Harga Volkswagen Golf GTI 380 2024 (MSRP):
- GTI 380 S – AS$32,485 (RM150,727)
- GTI 380 SE – AS$37,285 (RM173,010)
- GTI 380 Autobahn – AS$40,625 (RM188,496)
BACA: VOLKSWAGEN PASSAT VARIANT 2024 DIPERKENAL, R LINE NAMPAK SEGAK!
BACA: APA BEZA VOLKSWAGEN R-LINE DENGAN VOLKSWAGEN R?
BACA: VOLKSWAGEN GOLF R 333 LIMITED EDITION – 328HP, HARGA RM375K, 333 UNIT SAHAJA











