Buletin

VOLVO PERKENAL KEMPEN ‘SELAMAT’ SEMPENA PELANCARAN ES90

Volvo Car Malaysia memperkenalkan kempen baharu dinamakan SELAMAT sempena pelancaran model elektrik terbaharu, Volvo ES90, sebagai simbol komitmen berterusan jenama itu terhadap keselamatan pengguna jalan raya di Malaysia.

Kempen bersepadu ini menampilkan sebuah ES90 dengan balutan samaran khas “SELAMAT” yang dipandu sekitar Kuala Lumpur bermula 15 Januari lalu, disokong paparan digital luar, media sosial dan laman web, sebelum didedahkan secara rasmi pada 22 Januari bahawa “SELAMAT” merujuk kepada identiti dan nilai teras Volvo sendiri.

Perkataan “selamat” dipilih kerana membawa makna kesejahteraan dan perlindungan, selari dengan kehadiran Volvo di Malaysia sejak 1966 serta reputasinya sebagai perintis teknologi keselamatan automotif.

Volvo Car Malaysia memaklumkan, kempen SELAMAT akan berlangsung sepanjang 2026 dengan pelbagai aktiviti pendidikan dan keterlibatan awam bagi memupuk budaya pemanduan selamat.

Inisiatif ini akan memuncak dengan acara khas SELAMAT Drive pada suku kedua 2026, yang membolehkan orang ramai merasai sendiri gabungan tabiat pemanduan selamat dan teknologi keselamatan Volvo dalam situasi sebenar.

Sejak 1927, Volvo telah memperkenalkan pelbagai inovasi penting termasuk tali pinggang keledar tiga titik pada 1959, teknologi Safe Space yang merangkumi sistem keselamatan aktif dan pasif menyeluruh, serta pembangunan Multi-Adaptive Safety Belt untuk model masa hadapan.

Menurut Volvo, kempen ini turut mengambil kira realiti keselamatan jalan raya negara apabila 4,428 kematian berkaitan pengangkutan direkodkan pada 2024, dengan 2,547 daripadanya melibatkan golongan berusia 15 hingga 40 tahun.

SELAMAT dibina atas tiga tonggak utama iaitu sebagai janji untuk terus membangunkan kenderaan lebih selamat, penanda aras teknologi keselamatan industri, dan gerakan untuk menjadikan keselamatan sebagai budaya bersama, bukan sekadar keperluan peraturan.

Google ads
Back to top button