
BUDI95: PEMANDU E-HAILING SEPENUH MASA DAPAT 600 LITER SEBULAN
Lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa layak menerima siling penggunaan Budi Madani RON95 (BUDI95) sebanyak 600 liter sebulan.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), kenaikan sekali ganda itu dilakukan hasil semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95. Mereka terdiri daripada pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95,” katanya.
Pada masa sama, BUDI95 kini diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak bagi memastikan sistem bersasar subsidi itu memberi manfaat secara menyeluruh.
“MoF telah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar berdasarkan data yang diperoleh daripada daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri tersebut,”katanya
Tambah kenyataan itu, kerajaan Madani kekal komited memastikan program subsidi bersasar itu berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi Budi Madani atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal itu turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna. – Sinar Harian
- BACA: CITROËN AMI 2025 DITAWARKAN DI EROPAH, 75 KM, DARIPADA RM40 RIBU
- BACA: NISSAN DEDAH SKYLINE 400R LIMITED: TERHAD 400 UNIT, ANGGARAN HARGA RM215K
- BACA: iCAUR MALAYSIA RASMI BUKA PUSAT PENGEDAR UTAMA DI DAMANSARA
- BACA: TEMPAHAN GWM ORA GOOD CAT DAN GOOD CAT GT BAHARU DIBUKA – HARGA BERMULA RM115K








