
KIA CARNIVAL HEV DILANCARKAN DI THAILAND – DUA VARIAN, HARGA BERMULA RM324K
Kia kini memperluaskan barisan model MPV popularnya di Thailand menerusi pelancaran Kia Carnival Hybrid (HEV) yang ditawarkan dalam dua varian, Premium dan Luxury.
Dari segi rekaan, Carnival Hybrid tampil lebih segar dengan gaya yang lebih berani, menampilkan gril hadapan “Tiger Nose”, lampu utama berbentuk kiub, serta pencahayaan Star Map di bahagian depan dan belakang. Reka bentuk roda aloi geometri 19-inci turut menyerlahkan imej premium MPV ini.
Ciri Smart Power Sliding Door dan Smart Power Tailgate membolehkan pintu dan ruang but dibuka secara automatik apabila kunci pintar dikesan berdekatan bagi memudahkan pengguna ketika membawa barangan.
Bahagian kabin pula dilengkapi dengan paparan melengkung panorama yang menggabungkan dua skrin 12.3 inci – satu untuk kluster instrumen digital dan satu lagi untuk sistem infotainmen, yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta kawalan suara.

Sistem penyaman udara automatiknya menawarkan kawalan suhu tiga zon, membolehkan penumpang depan dan belakang melaras suhu mengikut keselesaan masing-masing.
Untuk keselesaan tambahan, terdapat enam port USB-C di ketiga-tiga baris tempat duduk, sistem audio BOSE 12 pembesar suara, lampu suasana 64 warna, paparan head-up display, dan cermin pandang belakang digital.
Varian Luxury pula dilengkapi tempat duduk berkuasa dengan fungsi pengudaraan, manakala varian Premium menawarkan kerusi kapten baris kedua boleh alih yang boleh digerakkan ke belakang untuk ruang kaki lebih luas.
Akses antara barisan tempat duduk belakang juga lebih mudah dengan reka bentuk walkthrough, dan tempat duduk baris ketiga boleh dilipat rata dengan satu gerakan mudah.

Beralih pada kuasa, model hibrid ini digerakkan oleh sistem gabungan enjin petrol 1.6 liter dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 245hp serta 367Nm tork, disalurkan menerusi transmisi automatik enam kelajuan.
Ia juga hadir dengan mod pemanduan EV yang membolehkan kenderaan dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dalam situasi tertentu.
Dari aspek keselamatan, Carnival Hybrid dilengkapi pakej bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi:
- Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go
- High Beam Assist
- Forward Collision Avoidance Assist
- Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA)
- Blind-Spot View Monitor (BVM)
- Rear Cross Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA)
- Lane Following Assist & Lane Keeping Assist
- Safe Exit Assist
- 360° Surround View Camera
- Lapan beg udara keselamatan
Untuk harga, Kia Carnival Hybrid (HEV) ditawarkan pada harga antara 2,499,000 hingga 2,699,000 baht (anggaran RM324,000 hingga RM350,000).
GALERI:













