Buletin

360 PELAJAR SERTAI EON TECH FUTURE CAMP 2025, PERKUKUH USAHA DIDIKAN STEM

Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), pengedar pelbagai jenama automotif terbesar di Malaysia dan anak syarikat DRB-HICOM Berhad, menutup tirai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terbaharunya dengan penganjuran EON Tech Future Camp 2025.

Inisiatif ini dilaksanakan bersama Creative Minds Education bagi memupuk minat inovasi dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan vokasional melalui pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara interaktif.

Program berkenaan melibatkan enam institusi di Selangor dan Negeri Sembilan — SMK Bukit Rahman Putra, SMK Bandar Baru Bangi, SMK Dusun Nanding, Kolej Vokasional Ampangan, Kolej Vokasional Juasseh dan Kolej Vokasional Port Dickson.

Seramai 360 pelajar diberi peluang mengikuti bengkel STEM, sesi pengaturcaraan asas, pendedahan robotik serta beberapa aktiviti cabaran inovasi.

Tumpuan utama program ini ialah penggunaan platform Acebott Robotics, yang membolehkan pelajar mereka bentuk serta mengaturcara robot menggunakan modul komponen dan perisian visual.

Pendekatan ini membolehkan konsep kejuruteraan dan pengkodan difahami dengan lebih mudah serta menyeronokkan di dalam suasana bilik darjah.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial, berkata penganjuran kem ini bertujuan membuka ruang kepada pelajar untuk melihat bagaimana teknologi digunakan dalam industri sebenar.

“Pendedahan seperti ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman mereka terhadap dunia teknologi, malah memperkenalkan peluang kerjaya dalam bidang inovasi dan kejuruteraan.

“Melalui usaha ini, EON komited menjadikan pendidikan sebagai pemacu utama inovasi dan pembangunan mampan dalam industri automotif,” katanya.

Kemuncak program menyaksikan satu pertandingan akhir yang berlangsung di Ibu Pejabat EON di Glenmarie, di mana para pelajar mempersembahkan hasil kreativiti dan kemahiran teknikal masing-masing dalam tiga kategori — Mission Challenge, Maze AI Challenge dan Innovation Challenge.

Pemenang utama setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala pemenang tempat kedua menerima RM750 dan tempat ketiga RM500, selain sijil penyertaan.

Kolej Vokasional Ampangan muncul sebagai juara keseluruhan apabila berjaya merangkul tempat pertama dalam ketiga-tiga kategori.

Dalam Mission Challenge, SMK Bukit Rahman Putra meraih tempat kedua manakala Kolej Vokasional Juasseh di tempat ketiga. Bagi Maze AI Challenge, KV Juasseh pula mengungguli kedudukan naib johan, diikuti SMK Bukit Rahman Putra di tempat ketiga.

Dalam Innovation Challenge, SMK Bukit Rahman Putra dan KV Juasseh turut mengisi tempat kedua dan ketiga.

Google ads
Back to top button