BANJIR THAILAND LUMPUHKAN BEKALAN TEKNOLOGI DAN ALAT GANTI KENDERAAN KE MALAYSIA
Banjir besar yang melanda selatan Thailand terus memberi kesan serius kepada rantaian bekalan serantau, khususnya penghantaran komponen teknologi tinggi dan alat ganti kenderaan ke Malaysia.
Pihak berkuasa Thailand mengakui bahawa situasi itu hampir menghentikan sepenuhnya pergerakan barangan ke sempadan, sekali gus membuka peluang kepada pesaing seperti Indonesia dan Vietnam untuk mengisi kekosongan pasaran.
Di Hat Yai, pusat komersial utama di wilayah Songkhla yang kini menjadi kawasan paling terjejas, rangkaian jalan raya utama terputus dan perkhidmatan kereta api dihentikan.
Menurut Kementerian Perdagangan Thailand, walaupun pintu sempadan masih dibuka, laluan menuju ke sana tidak lagi boleh dilalui akibat banjir.

“Hakikatnya, Hat Yai menjadi titik kesesakan terbesar kami,” kata kementerian itu.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa aliran eksport ke Malaysia hampir terhenti sepenuhnya kerana barangan tidak dapat digerakkan keluar dari gudang dan kilang.
Situasi ini berlaku ketika angka korban melebihi 180 orang, jutaan penduduk terkesan dan lebih 800,000 kediaman mengalami kerosakan teruk. Lebih 100,000 kenderaan juga dilaporkan rosak atau musnah.
Kerajaan Thailand menganggarkan kerugian keseluruhan mencecah 500 bilion baht (kira-kira RM73.6 bilion), menjadikan bencana kali ini antara yang terburuk pernah direkodkan di selatan negara itu.
Gangguan berulang seperti ini, menurut kementerian, boleh menjejaskan keyakinan pembeli antarabangsa terhadap Thailand sebagai hab pembekalan serantau. “Jika penghantaran tidak dapat dijamin, pembeli akan mencari sumber alternatif — dan Vietnam serta Indonesia tidak akan menunggu,” tambahnya.
Sekiranya keadaan banjir berterusan, Thailand berisiko menanggung kerugian tambahan sehingga AS$400 juta (kira-kira RM1.89 bilion) setiap bulan akibat kos lebih tinggi dan kelewatan penghantaran, terutamanya bagi komponen elektronik serta alat ganti automotif.
Pengeluaran sijil asal untuk tujuan eksport turut terjejas di beberapa kawasan kerana operasi rasmi tidak dapat dijalankan.
Topografi Hat Yai yang berbentuk ‘lembangan’ menjadikan akses ke pintu sempadan Sadao dan Padang Besar — yang mengendalikan 96% perdagangan Thailand-Malaysia — hampir mustahil. Ini mengakibatkan bukan sahaja sektor perkilangan terhenti, malah sektor pelancongan turut menunjukkan penurunan mendadak.
Data Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand menunjukkan kemasukan pelawat dari Malaysia merosot 43% dalam minggu 24–30 November berbanding minggu sebelumnya.
Ini satu tamparan besar kepada industri pelancongan yang masih cuba bangkit, memandangkan pelancong Malaysia merupakan kumpulan terbesar ke Thailand sepanjang 11 bulan pertama tahun ini.
Menurut Thanavath Phonvichai dari Universiti Dewan Perniagaan Thailand, pemulihan sektor pelancongan di kawasan terjejas mungkin berlarutan sehingga awal tahun depan.
Banjir kali ini menutup tirai tahun yang sudah penuh cabaran buat Thailand, bermula dengan gempa bumi pada Mac, ketegangan di sempadan dengan Kemboja pada Julai dan krisis politik yang membawa kepada perubahan kerajaan.
- BACA: KERAJAAN KOMITED PENYASARAN SUBSIDI RON95, TOLAK CADANGAN BANK DUNIA IKUT HARGA PASARAN
- BACA: KIA EV2: DARIPADA MODEL KONSEP KE VERSI PRODUKSI – APA YANG BERUBAH?
- BACA: PERJANJIAN KAHWIN DENGAN BATERI PERODUA QV-E. AKU TERIMA NIKAHNYA….
- BACA: RASMI: MODA AERO-E MERIAHKAN SEGMEN SKUTER KOMPAK – RM5,189







