Buletin

JLR PECAT PEREKA JAGUAR TYPE 00 KONONNYA ATAS ARAHAN CEO BAHARU

JLR, syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Jaguar Land Rover, dilaporkan telah menamatkan perkhidmatan individu yang memainkan peranan besar dalam membentuk identiti visual jenama tersebut.

Menurut laporan Autocar India, Gerry McGovern, yang memegang jawatan sebagai ketua kreatif sejak 2020, tidak lagi bersama syarikat itu.

Keputusan itu dikatakan dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif baharu JLR, P.B. Balaji. Balaji sebelum ini merupakan ketua kewangan Kumpulan Tata Motors, syarikat induk JLR, sebelum menggantikan Adrian Mardell bulan lalu.

Mardell bersara selepas lebih tiga dekad bersama JLR, termasuk tiga tahun sebagai CEO.

Balaji kini mengambil alih kepimpinan ketika JLR masih menguruskan kesan serangan siber besar-besaran yang menyebabkan operasi kilang tergendala.

Pada masa yang sama, Jaguar turut menangguhkan pelancaran grand tourer elektrik bernilai kira-kira AS$130,000 (anggaran kira-kira RM560,000), mencetuskan spekulasi bahawa hala tuju jenama itu akan disemak semula di bawah pengurusan baharu.

Autocar India mendakwa McGovern merupakan arkitek utama di sebalik usaha penjenamaan semula Jaguar yang mencetuskan perdebatan, termasuk peralihan kepada barisan model serba elektrik serta strategi menghasilkan kenderaan edisi terhad pada harga lebih tinggi untuk menempatkan Jaguar di liga jenama ultra-mewah seperti Bentley.

Konsep Jaguar Type 00 yang mencuri perhatian turut lahir daripada fasa perubahan itu.

Ketika diminta mengesahkan laporan pemecatan tersebut, JLR dikatakan memilih untuk tidak memberi sebarang komen.

Walaupun reka bentuk mutakhirnya menimbulkan reaksi bercampur-campur, legasi McGovern tetap signifikan.

Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat dalam pelbagai projek besar, termasuk kelahiran semula Land Rover Defender serta pembangunan Range Rover Evoque dan Range Rover Velar, model yang banyak membantu membentuk imej moden JLR hari ini.

Google ads
Back to top button