
NISSAN SERENA e-POWER DIPERKENALKAN DI MALAYSIA – NADI 1.4L, JANA 163PS
Sejak kemunculannya di Jepun pada tahun 1990-an, Nissan Serena telah menjadi rujukan dalam segmen MPV bersaiz sederhana, terkenal dengan kepraktisan, fleksibiliti, dan kebolehgunaan yang tiada tandingan.
Populariti Serena juga terbukti di pasaran Malaysia, di mana ia disukai kerana kebolehpercayaan, penjimatan bahan api, dan keselesaan yang ditawarkan kepada keluarga.
Dalam sejarahnya, Serena pernah mencipta kejayaan sebagai MPV hibrid pertama pada tahun 2013 dengan model C26 Serena S-Hybrid.

Ia menawarkan teknologi penjimatan bahan api yang inovatif serta kabin serba praktikal untuk menampung keperluan keluarga.
Model C27 kemudian memperkenalkan ciri keselamatan aktif termaju dan pelbagai kemudahan tambahan yang menjadikannya pilihan utama bagi pembeli MPV.
Kini, generasi keenam Serena hadir dengan nama All-New Nissan Serena e-POWER (C28), menampilkan sistem pacuan 100% elektrik yang memberi pengalaman pemanduan dan prestasi MPV yang tiada bandingan.

Sistem e-POWER baharu ini terdiri daripada motor elektrik berprestasi tinggi 163PS dengan tork 315Nm, enjin pembakaran dalaman 1.4 liter yang khusus untuk menjana elektrik, serta bateri litium-ion padat 1.769kWh.
Enjin 1.4L 3-silinder HR14DDe berfungsi sebagai generator sahaja, dilengkapi teknologi Mirror Bore Coating dan suntikan terus (direct injection) yang mengurangkan geseran, getaran dan bunyi.
Hasilnya, enjin ini beroperasi dengan lancar dan senyap ketika mengecas bateri dan membekalkan tenaga kepada motor elektrik.

Dengan pacuan sepenuhnya oleh motor elektrik, Serena e-POWER menawarkan pecutan segera dan lancar.
Respons pantas sistem e-POWER menyerupai pemanduan EV sepenuhnya, tetapi kelebihan utamanya ialah ia mengecas sendiri, menghapuskan keperluan pengecasan luaran dan kebimbangan jarak perjalanan yang biasa dialami EV konvensional.
Bagi yang ingin mengikuti perkembangan terkini mengenai MPV bersaiz sederhana dengan pacuan elektrik penuh tanpa risau jarak perjalanan, layari www.nissan.com.my untuk berita terkini mengenai All-New Nissan Serena e-POWER.
GALERI:



















